Malaysiakini
BERITA

Noor Hisham kesal masih ramai keluar rumah walau ada sekatan jalan

Diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah sekali lagi merayu orang ramai melakukan kawalan kendiri dengan duduk di rumah bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Noor Hisham menyatakan rasa kesal apabila masih ramai individu keluar rumah pada hujung minggu, meskipun larangan merentas daerah dan negeri sedang dilaksanakan.

“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?

“Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.

“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Dia turut memuat naik gambar kenderaan yang sedang beratur panjang untuk melepasi sekatan jalan raya di lebuh raya KL-Karak berdekatan Plaza Tol Gombak dan berdekatan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Selain memberitahu berulang kali kepada orang ramai untuk duduk di rumah dan hanya keluar jika mempunyai urusan penting, Noor Hisham turut mengingatkan mereka berkemungkinan tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya apabila sistem kesihatan negara lumpuh.

“Sekiranya kami rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya.

“Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU sudah penuh semuanya.

“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 9,020 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu kini sebanyak 558,534 kes.

Ia merupakan kes jangkitan harian tertinggi di Malaysia setakat ini. 

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan "total lockdown" secara berperingkat berkuatkuasa 1 Jun ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.