Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew tidak berganjak daripada kenyataan bahawa masyarakat Cina di Malaysia telah dipinggirkan dengan alasan "apa yang saya katakan adalah tidak lebih daripada apa yang saya telah katakan banyak kali sebelum ini".

Malahan apa yang saya katakan adalah lebih lembut daripada apa yang saya tulis dalam memoir saya yang diterbitkan pada 1998," katanya dalam surat balasan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta penjelasan berhubung komen "Cina dipinggirkan".

Lee, jika mengikut isi kandungan suratnya itu, pada masa yang sama bersikap "lembut dan sopan", berkata "Saya tidak berniat untuk campurtangan dalam politik anda. Malahan saya tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau untuk mengapi-apikan perasaan orang Cina di Malaysia."

Menurut laporan Bernama, Lee tetap berpendirian tegas dengan apa yang beliau katakan, hanya meminta maaf bagi kenyataan yang telah menyebabkan rasa tidak selesa kepada Abdullah.

"Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada anda. Selepas sedekad menghadapi hubungan yang bermasalah dengan perdana menteri sebelum anda, saya tidak inginkan keadaan seperti ini berlaku," katanya dalam surat itu.

Sesetengahnya menyifatkan permintaan maaf Lee dalam suratnya itu mengandungi maksud tersirat; dan dengan itu bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Abdullah menyambutnya dengan rasa dingin, dengan hanya menyatakan bahawa beliau mengambil maklum isi kandungan surat itu.

"Kenyataan yang dibuat Lee Kuan Yew di Singapura adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak dihargai," kata Abdullah semasa ditanya mengenai surat Lee itu. "Saya pastinya tidak bersetuju dengan premis yang beliau pilih semasa membuat kenyataan itu".

Forum internet

Pendek kata, banyak pihak berpendapat ia bukan permintaan maaf dalam erti kata sebenarnya.

"Ia bukan minta maaf. Beliau hanya berkata maaf kerana menyebabkan ketidakselesaan, bukan beliau minta maaf kerana membuat (kenyataan kontroversi itu)", kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Forum Internet, portal berita dan blog dipenuhi dengan perkembangan terbaru itu.

Ada yang menulis dalam forum dan bahagian komentar berkenaan bahawa Lee keterlaluan apabila membuat kenyataan mengenai ehwal dalaman negara lain, manakala ada yang menyokong beliau, berhujah bahawa apa yang dikatakan oleh Lee adalah benar dan tidak perlu minta maaf.

Tanpa mengambil kira permintaan maaf itu, "kerosakan telah berlaku" tulis yang lainnya. Ada yang berpendapat kini tiba masanya untuk meneruskan kehidupan dan ia akan sembuh mengikut peredaran masa.

Jerebu masih menyelubungi Singapura. Indeks Perkhidmatan Pencemaran (PSI) meningkat kepada 73 pada hari ini Isnin; paling tinggi pada tahun ini. Hari ini langit mendung dan bau asap terus menyebabkan rasa tidak selesa di kalangan orang ramai.

Tetapi mungkin jerebu yang satu lagi, jerebu politik, mula reda di kedua-dua belah pihak yang terpisah oleh Tambak Johor itu apabila kedua-dua negara mengambil pendirian tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan mereka.

Ironi daripada peristiwa itu ialah mulai sekarang kedua-dua negara akan lebih prihatin dan berhati-hati terhadap sentimen yang menentukan hubungan mereka -- keberanian untuk berkata "tidak" kepada jiran.