K'jaan digesa kaji semula beku pengambilan pekerja asing
Langkah terbaru kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing, patut dipertimbangkan semula, kerana ia mempunyai kesan yang besar terhadap ekonomi.
Langkah terbaru kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing, patut dipertimbangkan semula, kerana ia mempunyai kesan yang besar terhadap ekonomi.
Aktivis pengguna, Jacob George juga mempersoalkan sama ada kerajaan telah mengadakan kajian yang terperinci sebelum melaksanakan keputusan tersebut.
Beliau mengulas satu laporan dalam akhbar Utusan Malaysia semalam yang memetik Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar sebagai berkata, langkah itu dilaksanakan bagi melindungi peluang pekerjaan untuk pekerja tempatan.
Timbalan menteri itu menambah, kerajaan juga bimbang negara terlalu bergantung kepada pekerja asing. Beliau juga melahir kebimbangan mengenai lebih 600,000 pekerja tanpa izin yang berada di negara ini.
George, yang juga Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA), berkata kenyataan Abdul Rahman itu tidak konsisten dengan keadaan sekarang di mana terdapat kekurangan tenaga kerja antara 800,000 hingga 1 juta di negara ini.
Beliau juga bertanya sama ada dasar tersebut, yang diumumkan Abdul Rahman, telah dibincangkan di peringkat kabinet.
"Apakah diadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian atau dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri?.
"Banyak syarikat yang sudahpun mengambil pekerja asing. Mereka menjelaskan bayaran visa pekerja. Mereka melabur membeli peralatan untuk digunakan oleh pekerja ini, dan dijangka memulakan operasi tidak lama lagi," katanya, sambil menambah, kenyataan timbalan menteri itu juga turut menimbulkan kegelisahan di kalangan pelabur asing.
Tidak berminat
George juga mencadangkan supaya kerajaan memberi permit kerja kepada 600,000 pekerja tanpa izin supaya mereka dapat bekerja secara sah di negara ini.
"Jika tidak, bagaimana hendak ditangani masalah kekurangan pekerja apabila pembekuan pengambilan pekerja asing itu dimulakan.
"Jika dilihat pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), terdapat banyak projek yang memerlukan ramai pekerja. Kita memerlukan semua tenaga kerja yang ada untuk membangunkan pelbagai sektor di negara ini," katanya.
Menurutnya lagi, kekurangan tenaga kerja tidak boleh diatasi dengan pekerja tempatan kerana mereka tidak berminat bekerja sebagai buruh kasar yang diperlu di sektor pembinaan, pertanian dan perkilangan. Berita asal

