Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Pendaftar vaksin dapat negeri lain kerana silap pilih alamat

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, pihak berkuasa telah menyiasat berkenaan sejumlah pendaftar vaksin yang menerima tempat vaksinasi di negeri berbeza dalam aplikasi MySejahtera.

Khairy berkata, ia berlaku kerana masalah berkaitan API Google Maps.

Menurutnya, apabila orang memasukkan kawasan tempat tinggal mereka, Google Maps akan menyenaraikan semua lokasi dengan nama sama dan sesetengah pengguna mungkin memilih alamat pertama dalam senarai, walaupun ia adalah alamat yang salah.

"Misalnya, orang itu tinggal di Taman Bahagia di Kuala Lumpur. Mereka taip 'Taman Bahagia' dan semua (tempat bernama) 'Taman Bahagia' keluar dalam Google API.

"Mereka klik pada 'Taman Bahagia' yang pertama (dalam senarai itu) dan akhirnya mereka dapat Taman Bahagia, Sandakan," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Oleh itu, Khairy berkata proses pendaftaran akan ditambah baik dengan pendaftar akan diminta mengesahkan poskod dan negeri mereka.

"Mesej saya kepada pengguna MySejahtera adalah untuk kemas kini ruangan alamat mereka agar insiden seperti ini dapat dikurangkan atau tidak berlaku lagi.

"Tolong kemas kini alamat anda dan letakkan poskod dan alamat agar masalah ini tak berlaku lagi," katanya.

Katanya lagi, ciri bantuan interaktif juga akan dimasukkan dalam aplikasi itu untuk membantu pengguna menyelesaikan masalah seumpamanya.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS