Bekas ketua polis Kemboja ditangkap di KL
Polis Malaysia telah menahan bekas ketua polis Kemboja yang menghadapi tuduhan membunuh di negaranya selepas dia bersembunyi di Singapura dan Malaysia.
Polis Malaysia telah menahan bekas ketua polis Kemboja yang menghadapi tuduhan membunuh di negaranya selepas dia bersembunyi di Singapura dan Malaysia.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, Heng Pov ditahan semalam (Selasa) di Bandar Sunway, dekat Kuala Lumpur.
"Dia ditahan semalam di Bandar Sunway," kata Johari kepada AFP. "Dia ditahan kerana tinggal melebihi tempoh visanya."
"Kita sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak polis mengenai penangkapannya itu," tambahnya.
Heng Pov telah disabit dan dihukum tanpa kehadirannya pada 18 September lalu kerana bersubahat dalam pembunuhan hakim Sok Sethamony, yang mati ditembak di Phnom Penh.
Dia juga didakwa terbabit dalam cubaan membunuh seorang penerbit akhbar, seorang pendakwaraya, pegawai berkuasa elektrik dan ketua polis tentera negara itu.
Tinggal lebih tempoh
Johari berkata, Heng Pov sedang ditahan di ibupejabat Polis Malaysia di Kuala Lumpur dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen.
"Dia ditahan di bawah undang-undang imigresen kerana tinggal melebihi tempoh visanya," katanya. "Dia tidak melakukan apa-apa (kesalahan jenayah) kecuali tinggal lebih masa."
Kedutaan Kemboja di Kuala Lumpur berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai penahanan Heng Pov.
Polis Malaysia dan Kemboja telah melancarkan gerakan intensif untuk mengesan Heng Pov, yang melarikan diri daripada tuduhah membunuh di Kemboja pada Julai lalu.
Dia kemudiannya melarikan diri ke Singapura dan ditahan awal September lalu kerana tinggal melebihi tempoh visanya. Dia kemudiannya dibebas dan dibenarkan ke Malaysia kerana Singapura dan Kemboja tidak mempunya perjanjian ekstradisi.
Di bawah undang-undang imigresen Malaysia, rakyat Kemboja boleh memasuk negara ini dan tinggal selama sebulan tanpa perlu mendapatkan visa.
Denda RM30 sehari
Sementara itu, Jabatan Imigresen berkata, mengikut prosedur biasa, Heng Pov akan didenda dan dihantar pulang ke negaranya kerana melanggar peraturan visa.
"Biasanya dalam kes seumpama ini, di mana dia tinggal melebihi tempoh visa, kami akan mengenakan kompaun dan kemudian menghantarnya pulang ke negaranya, Kemboja," kata Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed kepada AFP.
"Di bawah undang-undang imigresen, dia tinggal melebihi tempoh visa, dan kerana ia kurang daripada 30 hari, kita boleh mendendanya RM30 untuk setiap hari dia tinggal lebih masa di sini," tambahnya.
Pihak polis tidak dapat dihubungi untuk berhubung perkara itu.
Malaysia tidak menerima suaka politik atau mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Kemboja.
- AFP

