Umno mendakwa PAS bertindak mendaftarkan ramai pengundi hantu yang sebahagian besarnya bekas pelajar universiti di kawasan pemimpin utama parti pembangkang itu, khususnya di kawasan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam setiap pilihanraya umum, bekas Menteri Besar Terengganu itu bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dan kerusi Parlimen Marang.

Dalam pilihanraya umum lalu, beliau menang di Rhu Rendang tetapi kalah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Bakar, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, di kerusi Parlimen Marang. Abdul Rahman menang tipis dengan hanya 163 undi.

Pada keseluruhannya, BN berjaya merampas semula Terengganu daripada PAS apabila 27 daripada 32 kerusi DUN, serta menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen yang dipertanding di negeri itu.

Penyelaras pilihanraya Umno bagi DUN Rhu Rendang, Latiff Mohd Noor berkata, modus operandi PAS ialah mendaftarkan pengundi hantu sebagai pengundi tempatan.

"Kebanyakannya merupakan bekas pelajar universiti yang selama ini merupakan penyokong PAS yang akan didaftarkan sebagai pengundi di Marang sebaik sahaja pilihanraya berakhir.

"Kalau dari Terengganu pula, PAS membawa masuk penyokong mereka sebagai pengundi di kawasan Marang dari kawasan-kawasan parti itu tidak mempunyai peluang menang," katanya lagi.

Latiff berkata, bagi menangani masalah tersebut Umno dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sentiasa memantau senarai pilihanraya terbaru.

Enggan kerjasama

Bagaimanapun, katanya, bukan semua pengundi hantu boleh dikesan kerana penduduk di kawasan pekan dan taman perumahan, yang sebahagian besarnya bukan Melayu, enggan memberi kerjasama.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata pendedahan Abdul Rahman mengenai tindakan PAS mendaftarkan pengundi hantu untuk menang dalam pilihanraya umum bukanlah satu perkara baru.

Beliau berkata, setiapkali ada pilihanraya, ramai pengundi yang tidak dikenali berkumpul di rumah penyokong PAS.

Katanya, kawasan yang paling ramai pengundi hantu ini ialah DUN Rhu Rendang, tempat kediaman Abdul Hadi di mana terletak Masjid Rusila yang menjadi pusat presiden PAS itu mengajar agama.

"Sejak Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding pada 1978, pengundi hantu sudah ada. Ini memang kerja PAS dalam setiapkali pilihanraya.

"Mereka bawa pengundi hantu semata-mata untuk memenangkan Presiden PAS itu. Jika Abdul Hadi kalah, jatuhlah maruah PAS," kata Zaitun.

Beliau berkata, pihaknya dapat mengesan PAS membawa masuk pengundi hantu berdasarkan pemeriksaan yang dibuat ke atas senarai pengundi terbaru menjelang hari mengundi.

Katanya, mereka tidak dikenali penduduk setempat dan keadaan ini menimbulkan syak wasangka di kalangan penduduk.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Haji Mustafa Ali menyanggah dakwaan Umno dalam satu kenyataan akhbar .