Selepas sembilan tahun mencuba, Parti Sosialis Malaysia (PSM) kini sampai ke saluran terakhir dalam usahanya untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, ahli jawatankuasa PSM, Dr S Jeyakumar berkata, parti tersebut patut diberi peluang menyediakan perpektif yang berlainan dalam politik Malaysia melalui sosialisme.

"Kerajaan sepatutnya berani dan menyerahkan kepada rakyat untuk memutuskan sama ada kami relevan. Jika mereka rasakan kami cakap bukan-bukan, kami akan hilang deposit.

"Jika mereka takut kami memperjuangkan isu-isu sosialis, maka (ia bermakna) ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar-dasar mereka," katanya.

PSM telah berusaha untuk didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sejak tahun 1998 lagi.

Setiausaha Agugnnya S Arutchelvan percaya sejak tahun 1994 lagi, tidak sebuah pun parti politik baru yang telah didaftarkan oleh ROS.

Beliau mendakwa, nasib sesebuah parti politik sebenarnya terletak pada keputusan politik pihak kerajaan dan bukannya keputusan pentadbiran oleh ROS.

Sebagai parti yang tidak diiktiraf di segi undang-undang, calon-calon PSM telah bertanding di bawah tiket parti-parti pembangkang yang lain, termasuk dalam dua pilihanraya umum yang lalu.

Permohonan baru

Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan PSM untuk didaftarkan sebagai sebuah parti nasional, dengan alasannya ianya gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh ROS.

Permohonan baru dikemukakan oleh Presiden PSM, Mohd Nasir Hashim di Mahkamah Persekutuan pada 11 September lalu dan ia ditetapkan untuk disebut pada 12 Oktober ini.

Dalam affidavitnya, Nasir mencabar keputusan ROS dan Kementerian Dalam Negeri yang hanya membenarkan pendaftaran jika PSM mempunyai wakil dalam jawatankuasanya dari sekurang-kurangnya tujuh buah negeri.

Beliau mendakwa, dasar seumpama itu tidak wujud dalam Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan ROS, dan oleh itu, ia melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk berpersatuan.

Parti itu mendakwa, mereka hanya dimaklumkan mengenai peraturan tersebut apabila menemui satu nota bertulis tangan pada permohonan mereka, yang dikatakan ditulis oleh pegawai ROS, yang menyatakan tidak terdapat perwakilan yang cukup dari tujuh buah negeri.

Salinan nota tersebut turut diedarkan kepada para wartawan hari ini. Berita asal