Tempat simpanan baasi sebuah bas ekspres meletup mengakibat dua penumpang melecur teruk. Kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang memunggah turun beg di Hentian Bas Putra, berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur awal pagi ini.

Difahamkan seorang lelaki berumur 39 tahun dan anak perempuannya berumur lima tahun cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 5.30 pagi tadi, bas Ekspres Mahligai yang membawa 48 penumpang berlepas dari Rantau Panjang, Kelantan pada 9 malam tadi telah berhenti di Platform 7 terminal bas itu untuk menurunkan beberapa penumpang sebelum ke destinasi akhirnya di Shah Alam.

Menurut laporan Bernama, difahamkan semasa kejadian mangsa bersama isteri dan tiga orang anak mereka sedang memunggah turun beg dan tiba-tiba satu letupan berlaku di bahagian tempat simpanan bagasi di belakang kiri bas itu.

Api daripada letupan itu dipercayai telah menyambar baju mangsa dan rambut anak perempuannya dan menyebabkan kedua-dua mangsa melecur teruk.

Sel bateri motosikal

Tinjauan Bernama pada jam 10 pagi ini mendapati tempat menyimpan bagasi itu rentung.

Turut kelihatan di tempat kejadian ialah anggota polis forensik yang giat menjalankan pemeriksaan dengan mengumpul bahan bukti bagi membantu penyiasatan.

Dipercayai letupan berpunca daripada sel bateri motosikal yang dibawa oleh salah seorang penumpang bas itu dalam begnya yang disimpan dalam tempat bagasi itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mokhtar Hassan dan pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ACP Ramli Din yang ditemui di tempat kejadian enggan mengulas mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, jurucakap Hospital Kuala Lumpur mengesahkan kedua-dua mangsa sedang dirawat di unit kecemasan hospital itu, namun ketika berita ini ditulis identiti mangsa masih belum dapat diketahui.