Kerajaan sepatutnya dibenarkan melantik Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara yang baru walaupun masih belum mendapat persetujuan dari Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim.

Rais juga menyangkal pelbagai spekulasi yang mengatakan perlantikan Abdul Gani itu bercanggah dengan perlembagaan.

Rais berkata persoalan sama ada perlunya mendapatkan persetujuan Agong adalah terpulang kepada kerajaan untuk memutuskannya mengikut keadaan semasa.

"Agong baru sahaja mangkat dan di dalam istana sekarang ini ada Timbalan Agong. Biarlah Perdana Menteri menjalankan tugasnya," beliau berkata.

Ketika ditanya sama ada perlantikan Abdul Gani sudah disahkan, beliau berkata perlantikan jawatan Peguam Negara tidak pernah menjadi isu kontroversi.

"Sejak negara mencapai kemerdekaan, ianya tidak pernah menjadi suatu masalah. Bila dan bagaimana adalah terserah kepada kerajaan menjalankan tugasnya," jelas beliau.

Tiada pengesahan Agong

Speaker Dewan Rakyat Mohamed Zahir Ismail semalam menegaskan bahawa Abdul Gani sudah dilantik secara rasmi sebagai Peguam Negara tetapi perlantikan itu belum mendapat pengesahan dari Agong.

Zahir membuat kenyataan itu sebagai menolak usul mengadakan debat berkaitan isu perlantikan Abdul Gani sebagai Peguam Negara yang dibangkitkan oleh Teresa Kok (DAP-Seputeh) Isnin lalu.

Tiga hari selepas itu Rais menafikan kenyataan Zahir.

"Tiada sebarang keraguan (mengenai perlantikan). Perlantikan Abdul Gani seperti yang diumumkan sebelum ini akan kekal. Saya tidak fikir speaker mempunyai pengetahuan mengenai hal ini," tegas beliau lagi.

Pada Nov 19, Rais mengumumkan bahawa Abdul Gani akan menggantikan Datuk Seri Ainum Mohamad Saaid sebagai Peguam Negara berikutan penyerahan surat perletakan jawatan Ainum yang berkuatkuasa Dis 31.

Rais juga berkata Abdul Gani akan mengambil alih jawatan Ainum sebaik sahaja beliau (Ainum) mula bercuti.

Pengumuman berhubung perlantikan Abdul Gani sehari selepas Ainum meletak jawatan menimbulkan keraguan pelbagai pihak sama ada perlantikan itu benar-benar mematuhi perlembagaan, terutamanya ketika Almarhum Agung berada dalam situasi tenat.

Mengikut perlembagaan, "Yang Di Pertuan Agung, dengan nasihat Perdana Menteri, perlu melantik seseorang yang layak menyandang jawatan hakim untuk Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara"