Kualiti udara yang tidak sihat dicatatkan di lebih banyak kawasan di negara ini berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk hari ini.

Kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi 100 telah meningkatkan kepada 15 berbanding 11 kawasan semalam pada jam 11 pagi ini, kata jurucakap Jabatan Alam Sekitar kepada malaysiakini.

(Lamanweb jabatan tersebut yang menyiarkan bacaan IPU setiap hari, menghadapi masalah teknikal pagi ini).

Empat kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada paras tidak sihat semuanya di Semenanjung Malaysia iaitu Kuala Selangor (111), Muar (110), Seri Manjung (107) dan Bandar Raya Melaka (101).

Bagaimanapun, bacaan IPU bagi Petra Jaya, Sarawak yang paling teruk dilanda jerebu semalam telah menurun daripada 213 semalam kepada 177 pagi ini.

Bacaan bagi Putrajaya pula hampir mencecah tahap tidak sihat. Mendahului senarai ialah Sarikei di Sarawak dari 156 kepada 195 pagi ini.

Paras sederhana

Kawasan lain yang masih di paras 'tidak sihat' ialah Sri Aman (178), Samarahan (174), Kuching (167), Sibu (163), Nilai (116), Kapit (110), Bukit Rambai (108), Seremban (105) dan Bintulu (103).

Di Lembah Klang pula, keadaan jerebu juga semakin buruk dengan bacaan IPU di Putrajaya telah mencecah paras tidak sihat pada sebelah petangnya, iaitu 102 pada jam 5 petang.

Kawasan lain ialah Kuala Lumpur (94), Shah Alam (97), Kajang (96), Pelabuhan Klang (88) dan Petaling Jaya (87). Bacaan di kawasan terbabit dianggap berada di paras 'sederhana'.

Pada keseluruhannya, 33 kawasan mencatatkan paras IPU sederhana manakala lima kawasan lagi berada dalam kategori 'baik'.

Bacaan IPU adalah dari 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat) dan 201-300 (sangat tidak sihat). Bacaan melebihi paras 300 dianggap merbahaya kepada kesihatan manusia.

Bacaan IPU dibuat dua kali sehari pada jam 11 pagi dan 5 petang.

K'jaan sediakan maklumat

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Ismail Merican menasihatkan mereka yang mengalami masalah pernafasan supaya memakai penutup mulut dan membawa bersama 'inhaler'.

"Bagi mereka yang menghidap sakit jantung, jika boleh, jangan keluar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jabatan Kajicuaca pula dilaporkan berkata keadaan jerebu sekarang disebabkan oleh peralihan cuaca kepada monson timur laut, mengakibatkan jerebu berlaku kerana tiupan angin yang tidak menentu dari Sumatera ke Malaysia.

Bagaimanapun, jabatan tersebut meramalkan keadaan jerebu sekarang sebagai 'sementara ' sahaja.

Keadaan darurat pernah diisytiharkan pada 10 Ogos tahun lalu selepas bacaan IPU di sesetengah kawasan melebihi 400, sehingga Pelabuhan Klang terpaksa ditutup. Berita asal