Ibusawat internet negara beroperasi enam bulan lagi
Ibusawat Internet negara yang ditubuhkan bagi membolehkan pelayaran lebih murah dan memecahkan monopoli penyediaan internet di negara ini dijangka mula beroperasi dalam tempoh enam bulan lagi.
Ibusawat Internet negara yang ditubuhkan bagi membolehkan pelayaran lebih murah dan memecahkan monopoli penyediaan internet di negara ini dijangka mula beroperasi dalam tempoh enam bulan lagi.
Menurut Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, dengan adanya ibusawat Internet bebas itu, Malaysia tidak lagi bergantung kepada Singapura dan Amerika Syarikat (AS) untuk laluan trafik internetnya.
Menurut laporan Bernama, pada masa ini, katanya, kesemua trafik internet Malaysia menuju ke Singapura atau AS.
"Penubuhan ibusawat Internet ini yang menelan belanja permulaan RM15 juta dapat membantu negara menjimatkan pertukaran asing berjuta-juta ringgit setahun dalam bentuk caj akses internet," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Informasi Changkat Cermin (PICC) di Padang PPRT Kampung Changkat Cermin di Setiawan, Perak semalam, Dr Lim berkata, sebagai contoh, setiap satu peratus kos trafik internet yang keluar membabitkan kos RM10 juta.
"Bayangkan jika 25 peratus akses internet kita keluar ia membabitkan kos yang besar dalam aliran keluar ringgit," katanya.
Sebelum itu, katanya, penubuhan ibusawat berkenaan membabitkan penarikan kabel internet antarabangsa ke ibusawat tersebut, yang bermakna kos pelayaran dapat dikurangkan kerana trafik internet Malaysia yang dihalakan ke AS atau Singapura dikenakan caj yang mahal.
Sebaik sahaja ibusawat itu diwujudkan, industri itu akan dapat menarik kabel antarabangsa yang kini berada di Singapura, sebelum ke Malaysia, katanya.
Dr Lim berkata penubuhan ibusawat ini dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan proses pembelian peralatan ibusawat serta pusat-pusat pemancarnya sedang berjalan.

