DAP bidas j'kuasa kaji Parlimen hibrid tak libatkan pembangkang
DAP hari ini membidas tindakan menyisihkan pembangkang dalam jawatankuasa khas bagi meneliti pelaksanaan sidang Parlimen hibrid.
Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata ia adalah pelanggaran konvensyen Parlimen dan penyalahgunaan kuasa yang mengikis asas Parlimen sebagai aspek utama dalam demokrasi.
"Ahli parlimen pembangkang juga adalah sebahagian daripada cabang perundangan Perlembagaan Persekutuan seperti ahli parlimen kerajaan.
"Jika hanya ahli parlimen kerajaan yang dapat memutuskan peraturan prosedur bagaimana mesyuarat Parlimen hibrid dijalankan, Parlimen 'rubber stamp' ini bermaksud berakhirnya Parlimen," katanya dalam kenyataan.
Dia mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berhubung jawatankuasa tersebut yang telah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaan Parlimen hibrid.
Menurut Rais, jawatankuasa itu dianggotai dirinya,Yang Dipertua Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen.
Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sejak 11 Januari lalu susulan proklamasi darurat yang dijadual berakhir pada 1 Ogos ini.
Dalam pada itu, Lim berkata menurut Perintah Tetap 78 Dewan Rakyat, setiap pindaan pada Perintah Tetap perlu melalui Jawatankuasa Perintah Tetap Parlimen yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan juga pembangkang.
Dia berkata selain pengerusi jawatankuasa itu iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat, tiada seorang pun anggotanya dilibatkan dalam jawatankuasa khas tersebut.

