Scomi Group Bhd berkata ia telah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk menerbitkan sehingga RM630 juta nilai nominal nota Murabahah melalui anak syarikatnya KMCOB Capital Bhd (KCB).

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Scomi yang dikuasai oleh Kamaludin anak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata cadangan penerbitan nota Murabahah itu bertujuan untuk membangun kumpulan itu membiayai semula pinjamannya.

Menurut laporan Bernama, urusan pembiayaan semula itu akan membolehkan Scomi, antara lain, mengumpul pembiayaan baru bagi menampung keperluan operasi akan datang, menyelaras sebahagian daripada terma pinjaman sedia adanya, dan juga melunaskan sebahagian baki antara syarikat di dalam kumpulan itu.

Daripada jumlah RM630 juta itu, Scomi berkata RM250 juta akan digunakan untuk menyelesaikan bayaran pendahuluan dalam syarikat antara KMCOB dan Scomi.

Nota tersebut akan diletakkan dengan pemegang nota jangka-sederhana RM500 juta nilai nominal Scomi yang sedia ada, yang yang diterbitkan pada 2005 dan 2006.

Untuk bayar pinjaman

Manakala daripada baki RM380 juta lagi, kata Scomi, sehinggal RM195 juta akan didahulukan kepada KMCOB dan KMC Olitools (M) Ltd untuk membolehkan mereka menjelaskan pinjaman masing-masing.

Menurutnya lagi, sehingga RM50 juta akan digunakan untuk menyelesaikan pendahulan dalam syarikat dalam kumpulan Scomi. Bakinya akan digunakan sebagai modal kerja KMCOB serta modal perbelanjaan masa depannya.

Menurut Scomi lagi, cadangan penerbitan nota Murabahah itu tidak dijangka memberi kesan kepada perolehannya bagi tahunan kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2006.

Bagaimanapun, penerbitan nota Murabahah itu tertakluk kepada kelulusan pemegang nota jangka-sederhana RM500 juta nilai nominal Scomi tersebut.

Mengenai tempoh suku tahun kedua yang berakhir pada 30 Jun 2006, pinjaman Scomi berjumlah RM167.74 juta pinjaman jangka-pendek dan RM885.45 juta pinjaman jangka-panjang.