Keadaan jerebu di kebanyakan kawasan di Lembah Klang kini pada paras 'tidak sihat' berdasarkan kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pagi ini.

Pada jam 11 pagi ini, bacaan IPU di kawasan tersebut telah melebihi 100 termasuk di Kuala Selangor (146), Shah Alam (127), Pelabuhan Klang (117), Kajang (101) dan Kuala Lumpur (101).

Di Putrajaya, bacaan IPU pagi ialah 100, Petaling Jaya (99) and Gombak (93). Bacaan terbaru ini disiarkan dalam lamanweb Jabatan Alam Sekitar.

Di Negeri Sembilan, bacaan IPU di Nilai berada pada paras 103 manakala Bukit Rambai di Melaka pula mencatatkan bacaan 101. Kawasan selatan Johor juga mengalami jerebu yang serius dengan Johor Bahru mencatatkan bacaan 106 dan Muar pula 101.

Sri Aman paling teruk

Sementara itu, majoriti kawasan di Sarawak terus mengalami kualiti udara yang buruk dengan Sri Aman mencatatkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 221 naik mendadak daripada 178 semalam.

Bacaan IPU antara 201 dan 300 pula dianggap "sangat tidak sihat". Bacaan melebihi 300 dianggap merbahaya kepada kesihatan manusia.

Bahagian lain di Sarawak yang masih di paras 'tidak sihat' ialah Samarahan (149), Sarikei (148), Petra Jaya (147) dan Kuching (143).

Pada keseluruhannya, 32 kawasan di seluruh negara menunjukkan bacaan IPU pada paras 'sederhana' dan hanya tiga kawasan sahaja berada pada paras 'baik'.

Pihak berkuasa kesihatan menasihatkan mereka yang menghidap asthma dan mengalamai masalah pernafasan supaya tidak keluar.

Jabatan Kajicuaca pula dilaporkan berkata keadaan jerebu sekarang disebabkan oleh peralihan cuaca kepada monson timur laut, mengakibatkan jerebu berlaku kerana tiupan angin yang tidak menentu dari Sumatera ke Malaysia.

Kesan sementara

Bagaimanapun, jabatan tersebut meramalkan keadaan jerebu sekarang sebagai 'sementara ' sahaja.

Pengangkutan udara di Sarawak terganggu semalam selepas keadaan jerebu di negeri itu mencapai tahap tidak sihat manakala jarak penglihatan adalah terhad.

Usaha menghasilkan hujan tiruan dijalankan sejak kebelakangan ini di Sarawak bagi mengurangkan kesan jerebu sekarang.

Keadaan darurat pernah diisytiharkan pada 10 Ogos tahun lalu selepas bacaan IPU di sesetengah kawasan melebihi 400, sehingga Pelabuhan Klang terpaksa ditutup. Berita asal