story images
story images

Hari ini, beberapa lagi pemimpin parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Semalam, Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - pertemuan mingguan sebelum mesyuarat Kabinet - sebelum kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Difahamkan, antara isu yang menjadi topik perbincangan dalam pertemuan itu penularan wabak Covid-19 dan tempoh pelaksanaan darurat.

Malaysiakini membawa laporan langsung dari pintu istana.


4:20 petang - Sebuah kenderaan Range Rover berwarna kelabu milik Presiden Warisan Shafie Apdal meninggalkan Istana.

Kereta itu diiringi oleh anggota polis dan tidak berhenti untuk bertemu media.

Shafie menghabiskan lebih kurang satu jam di Istana.

3:15 petang: Pegawai kepada Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata pemimpin Sabah itu telah tiba untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, ahli parlimen Semporna itu memasuki Istana Negara tanpa disedari kelibatnya oleh pihak media.

Parti pembangkang pimpinan bekas ketua menteri Sabah itu memiliki lapan ahli parlimen.

3 petang: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Istana Negara, kira-kira sejam selepas masuk ke sana.

Diiringi dua pengiring polis, dia melambaikan tangannya tetapi tidak berhenti untuk bercakap dengan pemberita.

Dia dijadualkan membuat sidang media berkenaan pertemuan itu secara dalam talian pada pukul 4.30 petang nanti.

1.59 tengah hari: Dr Mahathir Mohamad dilihat masuk ke Istana Negara, menaiki kereta Proton X70 berwarna kelabu.

Mahathir dilihat memakai sepasang sut dan bersongkok hitam.

Dia merupakan pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang belum diluluskan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

12.51 tengah hari: Wee Ka Siong keluar dari Istana Negara setelah hampir sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dia tidak berhenti bertemu media dan terus meninggalkan lokasi.

Dua lagi pemimpin parti dijangka menghadap Agung hari ini, iaitu pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Semalam juga Agong menerima menghadap empat pemimpin politik, termasuk perdana menteri untuk mesyuarat prakabinet, dan tiga yang lain dari PH.

Sesi menghadap Agong dijangka bersambung di sebelah petang.

11.54 pagi: Presiden MCA Wee Ka Siong menjadi pemimpin parti politik yang kedua tiba di Istana Negara hari ini.

Wee juga menjadi wakil parti komponen BN pertama menghadap Agong dalam pertemuan baginda bersama pemimpin-pemimpin parti politik yang bermula sejak semalam.

Menaiki Vellfire putih, menteri pengangkutan itu masuk melalui Pintu 2 Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

11.35 pagi: Kereta Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat meninggalkan Istana Negara, selepas lebih sejam berada di dalamnya.

Kenderaan itu tidak berhenti dahulu untuk bertemu media, sebaliknya terus meninggalkan kawasan itu.

Petugas media akhirnya dibenarkan menunggu di tepi pintu istana seperti semalam, tetapi diingatkan agar menjaga prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal.

Jika semalam makanan disumbang oleh sebuah restoran, hari ini pihak istana sendiri yang menyediakannya.

10.20 pagi: Kereta Toyota Vellfire hitam yang dinaiki timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tiba di Istana Negara.

Pegawai Tuan Ibrahim mengesahkan Menteri Alam Sekitar dan Air itu hadir untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kereta itu masuk melalui pintu 2 Istana Negara.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada masa ini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Petugas media hari ini tidak lagi dibenarkan berada di tepi pintu pagar istana, tetapi dibolehkan memerhati tidak berapa jauh dari situ.

Tuan Ibrahim Tuan Man


Semalam merupakan hari pertama Agong menerima menghadap pemimpin-pemimpin parti politik di negara ini.

Selain Muhyiddin - yang memang menghadap Agong setiap Rabu sebelum mesyuarat Kabinet - pertemuan lain semalam semuanya melibatkan pemimpin pembangkang.

Ini termasuklah ketua pembangkang Anwar Ibrahim, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, dam presiden anah Mohamad Sabu.

Mereka menghadap Agong secara berasingan, dengan setiap pertemuan mengambil masa kira-kira sejam.

Pun begitu, tidak banyak yang mereka dedahkan sebaik mereka keluar dari Istana Negara.

Apa yang dinyatakan hanya naratif ringkas: bahawa perbincangan adalah sekitar isu menangani Covid-19, penarikan darurat, dan pembukaan semula Parlimen.

Difahamkan, pemimpin-pemimpin GPS juga akan mengadakan pertemuan dengan Agong menerusi panggilan video pada Isnin depan (14 Jun).

Ini disahkan pejabat Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Abang Johari ialah pengerusi GPS - yang merupakan gabungan di Sarawak, terdiri daripada PBB, PRS, PDP, dan SUPP. 

Lihat Komen
ADS