Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan didakwa telah meminta pihak media supaya tidak membuat liputan penyerahan memorandum di ibupejabat polis Bukit Aman hari ini berhubung kes kematian seorang tahanan wanita dalam lokap polis.

Dalam surat pemberitahuan kepada pihak media semalam, Jabatan Perhubungan Awam Bukit Aman telah 'memohon kerjasama' pertubuhan media supaya tidak membuat liputan mengenainya.

"Ketua Polis Negara memohon kerjasama daripada pihak tuan-tuan untuk tidak menghantar wakil pada tarikh dan masa yang dijadualkan untuk penyerahan memorandum tersebut.

"Kawasan di Bukit Aman merupakan kawasan larangan untuk orang awam membuat perhimpunan," demikian menurut kandungan salinan surat tersebut yang diperolehi oleh malaysiakini.

Dalam surat pemberitahuan itu yang ditulis dalam bahasa Malaysia dan ditandatangani oleh Penguasa Mohamad Daud perkataan 'tidak menghantar wakil' ditulis dengan huruf besar.

Kumpulan yang menyerahkan memorandum itu juga menggesa Ketua Polis Negara itu supaya mengadakan siasatan bebas terhadap kes tersebut.

Jangan campurtangan

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) dan Perikatan Penulis Media Independen (Wami) memandang berat tindakan pihak polis menghalang pihak media membuat liputan.

"Ketika dihubungi, sesetengah bilik berita berkata mereka tidak menerima sebarang notis mengenainya. Manakala yang lainnya pula tahu mengenai (penyerahan memorandum itu), tetapi tidak menerima surat pemberitahuan (dari pihak polis) dan telah menugaskan wartawan mereka ke sana," kata Pengarah Eksekutif CIJ, Sonia Randhawa dalam satu kenyataan.

"CIJ dan Wami menegaskan bahawa adalah menjadi hak media untuk membuat liputan perkara yang mempunyai kepentingan awam dan bukannya atas arahan polis," katanya.

CIJ dan Wami juga menggesa Musa supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kumpulan terbabit dan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Serah memo

Sementara itu, wartawan Muda Mohd Noor yang membuat liputan di tempat tersebut, melaporkan bahawa Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Manickavasagam telah menyerahkan memorandum tersebut kepada Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, ACP Nawawi Baharom.

Terdapat kira-kira 10 wartawan yang hadir di situ. Manickavasagam juga melahirkan kekecewaannya kepada Nawawi berhubung surat pemberitahuan polis tersebut.

"Kami yang memanggil pihak media, bukannya Musa Hassan. Jadi, tiada sebab untuk pihak polis menghalang pihak media membuat liputan," katanya kepada wartawan kemudiannya.

"Kami tidak mahu menimbulkan sebarang masalah, kami hanya mahu bertemu dengan ketua polis. Kami telah banyak kali membuat temujanji tetapi pihak polis sentiasa memberi alasan(Musa) sibuk. Surat-surat kami juga tidak dibalas," katanya.

Pada 12 September lalu, Samiyati Indrayani Zulkarnanin meninggal dunia ketika dalam tahanan di balai polis Wang Maju dan pihak keluarganya mengesyaki wujud unsur-unsur jenayah.

Dalam memorandum yang dikemukakan hari ini, Manickavasagam berkata versi polis bahawa suspek yang berusia 45 tahun itu, yang ditangkap kerana kesalahan berkaitan dengan dadah, mati secara tiba-tiba tidak boleh diterima.

Adik mangsa, Monashofian Putra Zulkarnain Indra Putra (foto), 44, turut hadir pagi ini, Beliau telah membuat laporan di ibupejabat polis Dang Wangi pada 15 September, menuntut supaya dijalankan siasatan terhadap punca kematian kakaknya itu.