Jerebu liputi hampir seluruh Semenanjung
Jerebu merebak meliputi hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia dengan jarak penglihatan di negeri-negeri pantai barat dari selatan Kedah hingga ke utara Johor pada jam 2 petang hari ini ialah antara dua dan empat kilometer.
Jerebu merebak meliputi hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia dengan jarak penglihatan di negeri-negeri pantai barat dari selatan Kedah hingga ke utara Johor pada jam 2 petang hari ini ialah antara dua dan empat kilometer.
Di Sarawak jarak penglihatan kekal rendah antara 0.4 dan dua kilometer dengan Kuching (0.4km) dan Sri Aman (0.6km) manakala di Sabah jarak penglihatannya lebih lima kilometer kecuali di Labuan dan Sandakan (1km dan 1.5km masing-masing).
Menurut laporan Bernama, jumlah titik panas (yang menunjukkan kawasan kebakaran) yang dikesan di Sumatera masih banyak iaitu kira-kira 228, manakala di Kalimantan jumlahnya meningkat kepada 507.
Di Sumatera, kebanyakan titik panas terletak di selatan Sumatera manakala di Kalimantan titik panasnya terletak di tengah dan selatan Kalimantan.
Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia telah memulakan operasi pembenihan awan di Sarawak sejak Selasa dan ia juga telah diperluaskan ke Sabah.
Menurut kenyataannya, oleh kerana keadaan berjerebu di Semenanjung Malaysia, operasi pembenihan awan juga akan dilakukan mulai hari Jumaat di kawasan yang terlibat.
Sementara itu, laporan Indeks Pencemar Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 11 pagi Jumaat menunjukkan sebanyak 15 kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat dan satu kawasan iaitu Sri Aman mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu pada kadar 221.
Tahap tidak sihat
Khamis, sebanyak 14 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui laman webnya melaporkan lima lagi kawasan berada pada tahap tidak sihat ialah Kuching (143), Sibu (137), Sarikei (148), Samarahan (149) dan Petra Jaya (147).
Empat lagi kawasan berada pada tahap sederhana iaitu Bintulu (97) Miri (86) Limbang (94) dan Kapit (93).
Di Semenanjung, kawasan yang mencatatkan IPU tertinggi ialah Kuala Selangor dengan bacaan 146 diikuti Shah Alam (127), Pelabuhan Klang (117), Johor Baharu (106), Nilai (103), Country Heights Kajang (101), Kuala Lumpur (101) dan Muar (101).
Sebanyak 33 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 51 hingga 100 berbanding 31, Khamis.
Di Pahang, bacaan IPU di negeri itu masih belum melepasi tahap tidak sihat walaupun sebuah stesen Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Jerantut mencatatkan peningkatan pencemaran udara.
Penolong Pengarah Unit Kawalan JAS Pahang, Zakaria Ahmad berkata bacaan IPU pada 11 pagi Jumaat di stesen JAS Jerantut mencatatkan peningkatan iaitu 76 IPU berbanding 66 dalam tempoh sama Khamis.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.