Sikap terbuka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menerajui negara ini tidak akan menggugat dasar negara yang telah lama dilaksanakan, walaupun ada pihak cuba mengambil kesempatan daripadanya, termasuk mendakwa matlamat penyertaan bumiputera dalam ekonomi sudah tercapai, kata Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.

Menurutnya, dasar yang telah dipersetujui bersama oleh masyarakat berbilang kaum masih kekal walaupun ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada keterbukaan Perdana Menteri itu.

"Ada anasir dari dalam dan luar negara cuba ambil kesempatan (daripada sikap terbuka Abdullah). Antaranya mereka dakwa matlamat Bumiputera dalam penyertaan ekonomi dah tercapai," katanya kepada para pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Taman Bunga Raya anjuran Biro Agama Umno Bahagian Merbok di Sungai Petani.

Sehubungan itu, beliau berharap para pemimpin dan generasi baru menghayati sejarah negara yang kini telah mencapai kemakmurannya hasil dasar yang telah dilaksanakan sejak dahulu lagi, antaranya ialah untuk menyeimbangkan ekonomi, hak dan peluang untuk orang Melayu.

Menurut laporan Bernama, Zainuddin berkata, Perdana Menteri juga mempunyai gaya yang berbeza dalam menyelesaikan sesuatu isu yang membabitkan hubungan antara negara dan lebih mengutamakan saluran diplomatik.

'Lepas tangan'

Menurutnya, saluran diplomatik yang digunakan Abdullah dilihat lebih berkesan dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Merbok turut menyelar sikap lepas tangan pengarang akhbar tertentu yang membenarkan penyiaran rencana yang menyentuh isu agama khususnya agama Islam.

"Bila ada orang Islam tulis sesuatu yang sensitif yang boleh menyesat, menghina dan memperkecilkan agama Islam, menjadi tanggungjawab pengarang (untuk menapisnya). Jangan hanya lihat (penulis itu) Islam, pengarang boleh benarkan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa penulis rencana itu dan akhbar yang menyiarkannya.