PKR Sarawak hantar memorandum mengenai jerebu
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak telah menggesa kerajaan Indonesia supaya mengambil tindakan segera dan tegas untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada negara Asean dan memastikan dasar pembakaran sifar dalam wilayah republik tersebut.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak telah menggesa kerajaan Indonesia supaya mengambil tindakan segera dan tegas untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada negara Asean dan memastikan dasar pembakaran sifar dalam wilayah republik tersebut.
"Hanya dengan tindakan tegas kerajaan Indonesia barulah bencana alam sekitar ini dapat diselesaikan secara muktamad," katanya dalam memorandum yang dihantar kepada Duta Indonesia di Malaysia, Drs KPH Rusdihardjo.
Memorandum itu diserahkan kepada Pemangku Ketua Konsulat, Dr Rubaya Thalib di pejabatnya di Bangunan Binamas in Kuching semalam, oleh delegasi yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR bagi kawasan Padungan, Dominique Ng (foto).
Salinan memorandum tersebut turut dihantar kepada Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Delegasi PKR itu membawa sepanduk dalam tiga bahasa, termasuk yang berbunyi 'Hentikan Jerebu' di depan pejabat konsulat Indonesia itu.
Bagaimanapun, hanya Ng yang dibenarkan masuk berjumpa dengan Dr Rubaya di pejabatnya.
Ng kemudiannya memberitahu malaysiakini bahawa perjumpaan tersebut berjalan dalam suasana yang baik, dan Thalib tidak menolak tanggungjawab negaranya terhadap keadaan jerebu sekarang.
Tanggungjawab moral
Bagaimanapun, kata Ng lagi, Thalid menegaskan usaha menanganinya memerlukan usaha bersama, bukan sahaja oleh Indonesia, tetapi juga negara-negara lain kerana peralatan yang lebih canggih diperlukan untuk mengawal jerebu.
Thalib juga memberitahu Ng bahawa kawasan kebakaran terbesar adalah di wilayah tengah Kalimantan ekoran kegiatan petani tempatan serta syarikat-syarikat balak.
Beliau mengakui kurangkan tindakan penguatkuasaan dan memohon maaf terhadap apa yang berlaku di negara-negara jirannya.
Sarawak merupakan negeri yang paling teruk dilanda jerebu kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Indonesia.
"PKR Sarawak ingin mengingatkan kerajaan Indonesia tentang tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa untuk mematuhi Artikel 9 dalam Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu, yang dicapai di Kuala Lumpur pada 2002," kata memorandum itu lagi.
Di bawah perjanjian tersebut, semua negara yang menandatanganinya telah bersetuju bukan sahaja untuk mengelak melakukan pembakaran terbuka melalui perundangan dan peraturan lain, tetapi juga untuk melaksanakan dasar sifar pembakaran bagi mengelak masalah jerebu.
"PKR Sarawak kecewa kerana keadaan jerebu sekarang menunjukkan bahawa Indonesia gagal memenuhi tanggungjawabnya kepada Asean dan rakyatnya di bawah perjanjian Asean yang ditandatanganinya," kata memorandum itu lagi. Berita asal

