Najib: Indonesia tidak mampu atasi punca jerebu sendirian
Masalah jerebu di rantau ini akan berterusan sekiranya satu langkah bersepadu tidak laksanakan oleh negara-negara Asean untuk membanteras punca kejadian tersebut.
Masalah jerebu di rantau ini akan berterusan sekiranya satu langkah bersepadu tidak laksanakan oleh negara-negara Asean untuk membanteras punca kejadian tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Asean perlu
mewujudkan sebuah dana bagi menangani kejadian kebakaran hutan secara berleluasa di Indonesia.
Katanya penyelesaian jangka panjang punca jerebu akibat kebakaran hutan perlu ditangani secara bersama ekoran Indonesia kekurangan sumber atau kemampuannya yang terhad.
"Punca jerebu bukan dari sini tetapi kebakaran hutan di Indonesia dan haluan tiupan angin membawa jerebu ke negara kita," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian zakat Bank Rakyat kepada 1,000 ibu tunggal dan fakir miskin di Pekan.
Menurut laporan Bernama, Najib berkata, masalah jerebu akan berulang dan ia tidak boleh diselesaikan melalui tindakan sebuah kerajaan sahaja.
Banyak masalah
"Indonesia memberi komitmen tetapi kita faham mereka kurang sumber atau kemampuan yang terhad, kita pun mesti simpati dengan mereka. Mereka terpaksa menangani banyak masalah dan kawasan hutan mereka begitu luas sekali," katanya.
Mengenai penubuhan dana tersebut, Najib berkata rundingan berhubung perkara itu pernah diadakan tetapi persetujuan untuk menyediakan kemampuan yang lebih belum dicapai.
"Misalnya kita mungkin perlukan kapal terbang jenis `water bombers' yang boleh memadamkan kebakaran di hutan belantara, kalau kita guna peralatan biasa seperti Bomba biasa ia tidak berkesan sama sekali, tapi `water bombers' bukan murah, "katanya,
Ketika ditanya tahap jerebu yang semakin buruk terutamanya di Sarawak yang memungkinkan kerajaan mengisytiharkan darurat, Najib berkata ada protokol dan kriteria tertentu seperti bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk mengisytiharkan sesuatu keadaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.