Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli) segera memperbetulkan fakta dan pengiraan mereka berhubung pegangan ekuiti bumiputera kerana hasil kajian mereka tidak tepat dan mengelirukan.

Katnya, Asli tidak sepatutnya mengambil kira ekuiti yang dipegang oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai ekuiti bumiputera kerana GLC mewakili negara keseluruhannya dan menjaga kepentingan seluruh rakyat negara ini.

" Fakta dan pengiraan Asli itu tidak tepat dan masih boleh diperdebatkan, tidak wajar dikatakan GLC itu milik bumiputera," tegasnya yang juga Ketua Menteri Melaka.

Mohd Ali juga berkata, hasil yang mendakwa bumiputera menguasai 45 peratus ekonomi boleh mengelirukan orang Melayu, seterusnya menjadikan mereka selesa dengan kedudukan itu dan tidak bekerja kuat bagi mencapai sasaran sebenar.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan Hari Raya kepada 350 anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya dan golongan miskin anjuran Rangkaian Restoran Subaidah (M) Sdn Bhd di Butterworth.

Beliau berkata peratusan itu mengambil kira ekuiti yang dimiliki syarikat-syarikat GLC seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Petronas kerana syarikat-syarikat itu mewakili negara keseluruhannya dan menjaga kepentingan seluruh rakyat negara ini.

"Saham Telekom turut dipegang oleh bukan bumiputera, begitu juga Petronas dan Tenaga Nasional. Yang wajar diambil kira ialah agensi-agensi pemegang amanah Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji, MARA, Tabung Angkatan Tentera dan Amanah Saham Bumiputera (ASB)," katanya.

Katanya bumiputera hanya memegang 18.9 peratus ekuiti di mana 14 peratus adalah milik individu dan selebihnya dimiliki oleh agensi-agensi pemegang amanah bumiputera.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian ASLI bertajuk Pengagihan Ekuiti Korporat: Arah Aliran Lalu dan Polisi Masa Depan yang mendakwa bumiputera sudah mencapai ekuiti ekonomi dalam negara sehingga 45 peratus iaitu melepasi sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebanyak 30 peratus.

Mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu Pulau Pinang yang masih ketinggalan, Mohd Ali berkata orang Melayu perlu menggunakan kekuatan dan kelebihan yang ada pada mereka untuk membangunkan ekonomi mereka.

Mohd Ali berkata usahawan Melayu yang berjaya di Pulau Pinang perlu bergabung dengan usahawan dari negeri-negeri lain untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh bagi menerokai pelbagai bidang yang ditawarkan termasuk perhotelan, restoran, teknologi dan bioteknologi.

"Usahawan Melayu di Melaka dan Pulau Pinang perlu bekerjasama sebagai Negeri Selat. Kalau sekarang usahawan dari Pulau Pinang melabur di Melaka, melalui kerjasama itu, usahawan dari Melaka juga akan mampu melabur di Pulau Pinang pada masa depan," kata beliau.

Katanya usahawan dari Pulau Pinang dialu-alukan melabur dalam pelbagai bidang di Melaka termasuk teknologi maklumat dan komunikasi serta bidang bioteknologi yang sedang dibangunkan secara agresif oleh kerajaan negeri Melaka.

"Jika ada kekuatan politik dan kekuatan dalaman orang Melayu, saya percaya masa depan orang Melayu Pulau Pinang akan lebih cerah dan boleh dibanggakan. Malah, gabungan Melaka dan Pulau Pinang akan dapat membangunkan ekonomi orang Melayu secara lebih berkesan," katanya.