Paling Popular
Terkini

HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC) berkata Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama dan akan memperluaskan operasi perbankan digitalnya serta mengurangkan cawangan seiring dengan perkembangan terbaharu perkhidmatan kewangan dan perbankan.

Menjalankan operasi di Malaysia sejak 1884, transformasi itu melibatkan pelaburan dalam kemampuan digitalnya dengan membuat perubahan kepada teknologi dan cawangan untuk memenuhi harapan pelanggan dan kaedah yang lebih digemari mereka untuk berniaga dengan lebih baik.

"HSBC kini fokus dalam pelaburan untuk mengubah untuk masa depan perbankan melalui pendigitalan dan sebagai sebahagian daripada transformasi ini, sebanyak 13 cawangan bank kami akan ditutup pada 31 Disember, 2021.

“Pelanggan dapat terus melakukan urus niaga perbankan mereka melalui cawangan terdekat, mesin juruwang automatik (ATM), perbankan telefon atau platform perbankan digital kami seperti aplikasi perbankan HSBC Malaysia atau perbankan dalam talian HSBC.

"Kami ingin mengulangi komitmen berterusan terhadap perniagaan HSBC di Malaysia dan mengubah masa depan perbankan," kata HSBC dalam e-mel kepada Bernama.

Kumpulan HSBC menekankan bahawa cerminan komitmen itu merangkumi pelaburan US$250 juta HSBC Malaysia di ibu pejabat baharunya di Malaysia, iaitu di hab kewangan TRX.

Kumpulan itu juga telah melakukan pelaburan sebanyak US$40 juta dari tahun 2021 hingga 2023 untuk melengkapkan cawangannya dengan keupayaan digital yang dipertingkatkan dan teknologi baharu.

Ia adalah tambahan kepada US$18 juta yang dilaburkan dari tahun 2018 hingga 2020 untuk membolehkan bank itu mengembangkan format cawangan yang inovatif dan menggunakan cara baharu dalam memberi perkhidmatan pelanggan serta menyokong perjalanan kewangan mereka.

Komitmen itu melibatkan penciptaan lebih daripada 200 peranan baharu untuk menyesuaikan diri dengan landskap perbankan yang terus berkembang dan menempatkan kakitangan HSBC ke dalam peranan baharu ini dengan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan bagi menyesuaikan diri dengan trend perbankan pengguna ketika ini dan pada masa depan, katanya.

"Kami mempunyai sejarah panjang lebih daripada 130 tahun di Malaysia dan merancang untuk terus berkhidmat kepada pelanggan kami dan membuat pelaburan untuk para pekerja, rangkaian dan perniagaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS