Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM beri kelulusan bersyarat pada vaksin CanSino, Johnson & Johnson
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 2:14 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi dua lagi vaksin, iaitu yang dibangunkan CanSino Biologics di China dan Johnson & Johnson di Amerika Syarikat, untuk digunakan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini.

"Mesyuarat telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi dua produk vaksin yang memerlukan hanya satu dos pelalian, iaitu Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China dan Janssen COVID-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson.

"(Kedua-dua vaksin ini) telah diberi kelulusan penyenarain penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia," katanya.

Noor Hisham turut memaklumkan, mesyuarat hari ini juga meluluskan penggunaan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan berumur 12 tahun ke atas.

Sebelum ini, kelulusan untuk vaksin Pfizer di Malaysia hanya untuk golongan berusia 18 tahun ke atas.

Katanya lagi, kelulusan pendaftaran bersyarat itu bermakna maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin akan dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. 

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif," katanya lagi.

Malaysia akan menerima vaksin Johnson & Johnson menerusi program perkongsian vaksin global COVAX Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan negara itu akan berkongsi 25 juta lebihan dos vaksin Covid-19 dengan negara-negara lain.

Sejumlah 19 juta dos akan disumbangkan menerusi Covax, manakala kira-kira tujuh juga dos kepada rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Bagi vaksin CanSino pula, Malaysia dilaporkan mula menerima 3.5 juta vaksin CanSino secara bertahap pada April lalu.

CanSino telah memeterai usaha sama dengan syarikat tempatan Solutions Biologics - sama seperti usaha sama antara Sinovac dan syarikat berkaitan kerajaan, Pharmaniaga.

Syarikat itu akan membeli vaksin CanSino secara pukal dan kemudian akan membungkusnya secara domestik menerusi prosedur "fill and finish".

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata vaksin CanSino akan digunakan terutamanya di kawasan pedalaman, atau di kawasan di mana penerimanya sukar untuk mendapatkan suntikan sebanyak dua kali.

Lihat Komen
ADS