Aktivis sosial terkenal di Sabah, Patrick Sindu sedang menimbang kemungkinan menyertai politik.

Beliau mendakwa mempunyai beberapa pilihan malah telah ditawarkan menyertai Umno atau Parti Keadilan Nasional (PKR) baru-baru ini.

Sindu, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) keturunan Kadazan yang lantang mengkritik kerajaan terutamanya berkaitan isu-isu kepenggunaan berkata, pucuk pimpinan Umno dan PKR telah mempelawanya menyertai parti berkenaan.

"Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman mempelawa saya menyertai Ummno baru-baru ini dan menawarkan saya kawasan yang selamat ialah Kerusi Parlimen Papar," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Di Sabah, pribumi termasuk Kadazan di benarkan menjadi ahli Umno.

Beliau mendakwa, tawaran itu dibuat dalam pertemuannya dengan Musa ketika menyerahkan cadangan reformasi dan pengstrukturan semula pelan induk pihak berkuasa tempatan Sabah bulan lalu.

Sindu, 50, mengucapkan terima kasih terhadap pelawaan dan kepercayaan Musa itu dan akan menimbangkan tawaran itu.

"Saya akan hanya menimbangkan tawaran itu jika saya percaya ia dapat membantu saya memberi sumbangan kepada masyarakat," ujarnya.

Sindu yang dilahirkan di Papar adalah penasihat kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Daerah Papar. Beliau juga Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagaimanapun Musa tidak memberikan sebab musabab kepada tawaran berkenaan tetapi Sindu percaya ia berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti sosialnya di peringkat akar umbi dan keakraban hubungannya dengan penduduk di daerah berkenaan.

Sindu sejak kebelakangan ini banyak memperjuangkan isu-isu kepenggunaan, pendatang tanpa izin dan hak tanah warisan mesyarakat Kadazan.

Namun di sebalik kelantangannya bersuara, Sindu telah dianugerahkan gelaran 'Datuk' sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Sabah tahun ini bagi menghargai sumbangannya kepada masyakarat.

Sindu juga mendakwa, Presiden PKR, Datin Seri Dr Azizah Wan Ismail juga pernah mempelawanya menyertai parti pembangkang itu.

Malah katanya, tokoh politik tempatan, Jeffrey Kittingan telah menjemputnya menghadiri perhimpunan di Tambunan Sabtu lalu, yang menyaksikan Jeffrey dan beribu-ribu pengikutnya menyertai parti PKR.

"Saya beritahu Jeffrey yang saya tak boleh hadir sebab sebagai seorang anggota NGO, saya tak boleh menyokong mana-mana parti. Saya perlu berkecuali," kata Sindu yang pernah menjadi ahli parti Parti Bersatu Sabah (PBS) satu ketika dulu.

Menyentuh tentang penyertaan Jeffrey ke dalam PKR, beliau berpendapat ia akan memecahbelahkan lagi masyarakat Kadazan.

"Ia akan mendatangkan masalah ke dalam Persatuan Kebuadayaan Kadazandusun yang mana Pairin (Kittingan) adalah Presiden dan Jeffrey timbalannya. Saya juga salah seorang exco persatuan itu," kata Sindu.

Sementara itu, bahang pilihanraya umum semakin kuat di Sabah dan Jeffrey dijangka akan menentang abangnya, Pairin, di Tambunan. Pairin adalah ahli dewan undangan negeri dan ahli Parlimen Tambunan.

Sindu berkata, rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang diketuai oleh Umno semakin meluas di negeri itu sekarang. Dalam pilihanraya yang lalu, majoriti besar Pairin di Tambunan yang merupakan kubu kuatnya telah merosot banyak walaupun beliau adalah pemimpin utama puak Kadazan. Berita asal