Jawatankuasa Khas Bebas Darurat mengesahkan bahawa mereka masih belum memuktamadkan keputusan berhubung tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataan media bersama, tiga ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang mewakili pembangkang iaitu Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Pengarah Strategi Amanah, Dzulkefly Ahmad berkata, pelbagai pandangan sudah disampaikan.

Ini termasuk pandemik Covid-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara dan kesan kepada kehidupan rakyat.

"Setakat hari ini, jawatankuasa ini masih belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata mereka.

Menurut mereka, turut dinyatakan mengenai pendirian bahawa pendekatan 'government intervention' atau campur tangan kerajaan dalam bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani wabak Covid-19.

"Pendirian kami ialah tiada keperluan untuk darurat dilaksanakan, sebaliknya pelaksanaan PKP yang lebih ketat adalah kaedah terbaik.

"Kami juga berpendirian bahawa persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisma semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara kita," kata mereka lagi.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Februari lalu.

Ia ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Jawatan kuasa terbabit dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakaria.

Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Jawatankuasa itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.