Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker nafi kata Parlimen bersidang semula pada September sebagai 'rasional'
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 11:42 AM
Dikemaskini: 8:57 AM

Nota editor: Laporan ini telah dikemas kini susulan kenyataan oleh Azhar Harun.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun mendakwa kenyataannya berhubung bila Parlimen patut bersidang semula, seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, telah disalah petik dan disalah tafsir.

Azhar menafikan berkata komitmen Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap usaha untuk mengadakan sidang parlimen sekitar September atau Oktober ini sebagai 'rasional'.

"Saya ingin nyatakan apa yang sebenarnya saya katakan tentang hal ini.

"Saya hanya katakan yang perdana menteri telah buat komitmen untuk mengadakan semula sidang Parlimen pada September atau Oktober 2021, dan dia telah menjelaskan rasionalnya berhubung perkara itu dalam perutusannya.

"Seperti yang dinyatakan di atas, saya tidak pernah kata atau buat sebarang kesimpulan yang keputusan perdana menteri itu 'rasional', atau 'boleh diterima atau tidak terlalu lambat'," katanya.

Azhar juga menafikan ada memberi ulasan terhadap kenyataan yang dibuat Istana Negara semalam.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Sehari sebelumnya, Muhyiddin memberi jaminan Parlimen akan kembali bersidang selepas negara memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Nasional.

Peralihan ke fasa ketiga akan berlangsung selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh. Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri akan menasihati Agong berhubung bila Parlimen perlu bersidang.

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pula menyatakan perdana menteri akan memutuskan perkara itu sekurang-kurangnya 28 hari lebih awal.

Dalam kenyataan hari ini, Azhar juga berkata Parlimen sedia untuk bersidang semula "dari setiap aspek, konsisten dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat".

Lihat Komen
ADS