Jeffrey dakwa angin perubahan sedang melanda Sabah
Angin perubahan sedang melanda Sabah tetapi pemimpin Barisan Nasional (BN) enggan mempercayainya, dakwa anggota baru Parti Keadilan Nasional (PKR) Sabah, Dr. Jeffrey Kitingan.
Angin perubahan sedang melanda Sabah tetapi pemimpin Barisan Nasional (BN) enggan mempercayainya, dakwa anggota baru Parti Keadilan Nasional (PKR) Sabah, Dr. Jeffrey Kitingan.
Katanya, para pemimpin BN tidak lagi berpijak di bumi nyata dan mereka tidak sedar semakin ramai rakyat Sabah menjauhi parti mereka.
Jeffrey (gambar kanan) yang mengulas kenyataan Setiausaha BN Sabah, Karim Bujang yang mempersoalkan kesahihan dakwaan lebih 17,000 orang Kadazandusun telah menyertai PKR Sabtu lalu berkata: "Reaksi pemimpin BN itu jelas menunjukkan para pemimpin BN tidak tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi dan menunjukkan betapa ceteknya politik mereka."
"Mereka tidak mahu percaya bahawa begitu ramai orang Sabah menyokong PKR," katanya merujuk kepada penyerahan 17,870 borang keahlian PKR oleh para penyokongnya kepada Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tambunan hujung minggu lalu.
Karim ketika mengulas dakwaan Jeffrey itu telah menuduh adik bekas Ketua Menteri Sabah, Pairin Kitingan itu hanya mengada-gadakan cerita.
Beliau juga meminta Jeffrey mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya itu.
Jeffrey bagaimanapun berkata tiada bukti-bukti lain perlu dikemukakan kerana borang permohonan yang diserahkan kepada Anwar mengandungi segala butir-butir bagi menyokong dakwaannya itu.
Beliau yang telah melompat parti sebanyak empat kali sepanjang karier politiknya turut menyifatkan para pemimpin BN tidak mempunyai wawsan dalam politik, sebaliknya hanya mahu mengaut keuntungan ketika berada dalam kerajaan.
" Sekarang mereka hanya bercakap tentang wang, mereka hanya nampak keuntungan peribadi di sebalik Rancangan Malaysia Kesembilan. Itulah politik bagi mereka," katanya.
Beliau menambah, para pemimpin BN juga tidak mempertahankan rakyat Sabah, sebaliknya membiarkan pendatang asing merampas kemerdekaan dan hak rakyat.
negeri itu.
"Hak rakyat Sabah diberikan kepada orang luar seperti pendatang asing," katanya Jeffrey merujuk kepada kira-kira 1.6 juga pendatang asing yang sebahagian besar daripadanya dikatakan telah memiliki kad pengenalan palsu atau atau kad pengenalan sah yang diperolehi menerusi saluran yang salah.
"Kita sepatutnya sudah merdeka tetapi sekarang kita dijajah kembali," tegasnya.
Menurut Jeffrey lagi, Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan abangnya, Pairin, telah terjejas teruk dengan kemasukan beramai-ramai orang Kadazan ke dalam PKR itu.
Menurutnya, pada hari perhimpunan PKR diadakan di Tambunan, PBS telah mengarahkan pelbagai acara termasuk gotong royong diadakan di semua kampung di daerah itu bagi menghalang orang ramai menghadiri majlis berkenaan.
"Tetapi usaha itu gagal kerana kira-kira 6,000 orang telah membanjiri majlis PKR itu. Ini menunjukkan angin perubahan sedang melanda kuat negeri ini," dakwanya.

