Malaysiakini
BERITA

Restoran di PJ diserbu penguat kuasa lepas bekas pekerja dakwa didera

Diterbitkan

Pihak penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini menyerbu sebuah restoran di Petaling Jaya susulan seorang warga asing mendakwa bahawa dia telah didera ketika bekerja di sebuah restoran di Malaysia.

Warga India bernama Velayutham yang kini berada di India, baru-baru ini dalam satu program bual bicara di India berkata bahawa dia bersama seorang lagi warga India didera oleh salah seorang pemilik restoran.

Dia juga mendakwa rakannya diliwat ketika bekerja di restoran tersebut.

Serbuan itu diadakan pada pukul 1 petang hari ini di restoran tersebut yang terletak di Old Town, Petaling Jaya.

Pegawai KSM yang dikenali sebagai Roslan berkata bahawa pihaknya menyerbu restoran tersebut selepas mendapat aduan berhubung diskriminasi terhadap pekerja warga asing.

Dia turut memberitahu bahawa pihak kementerian akan membuat kenyataan berhubung serbuan itu dalam masa terdekat.

Terdahulu, Velayutham mendakwa bahawa dia bekerja di restoran tersebut pada tahun 2018.

Menurutnya, dia dibawa ke Malaysia menerusi visa pelancongan oleh seorang ejen, dengan dijanji akan mendapatkan permit kerja dalam masa enam bulan.

Namun, katanya ejen itu tidak menepati janjinya.

"Saya sering dipukul, tidak dibayar gaji dan dikurung. Pasport saya turut dibakar.

"Keadaan seorang rakan kerja saya lebih teruk. Dia diliwat dan disimbah petrol," dakwa Velayutham dalam program bual bicara itu dikenali sebagai 'Neerkonda Paarvai'.

Bagaimanapun, dia berkata berjaya melepaskan diri dari sana, sebelum pulang ke India pada awal tahun 2019.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi restoran itu untuk mendapatkan komen.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.