Jerebu: Pembenihan awan gagal kerana kurang awan
Usaha kerajaan untuk mengurangkan jerebu melalui pembenihan awam di negara ini gagal kerana masalah kekurangan awan di negara ini, terutama di Sabah dan Sarawak.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid berkata kekurangan awan di negara ini, terutamanya di Sabah dan Sarawak, menggagalkan usaha yang dilakukan Jabatan Kaji Cuaca pada setiap hari itu.
Menurutnya, 600 titik panas yang dikesan, termasuk 300 titik panas di Sumatera, menjelaskan kenapa keadaan jerebu agak teruk di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia.
Mengenai mesyuarat khas peringkat menteri-menteri Asean, Azmi berkata, Malaysia akan menyertainya untuk membincangkan masalah jerebu yang kini melanda sebahagian besar rantau Asia Tenggara.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, mesyuarat teresbut, yang dijangka diadakan minggu ini dicadangkan oleh Singapura.
Menurutnya, Menteri Alam Sekitar dari Indonesia turut dijemput untuk mengikuti mesyuarat itu yang dijangka membincangkan langkah bagi mengatasi masalah jerebu yang melanda rantau ini sejak 1990-an.
"Apa yang dapat dilaksanakan (hasil daripada mesyuarat itu) saya tak berani jamin kerana bila berlaku sesuatu (jerebu) dengan skala yang besar, ia memakan masa untuk kita hadapi," katanya kepada pemberita setelah menyampaikan duit Hari Raya kepada anak-anak yatim di Kuala Lumpur semalam.
Rantau ini berhadapan dengan masalah jerebu yang berpunca dari kebakaran hutan di Wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, oleh para petani di sana.
Pembakaran terbuka
Masalah itu muncul lagi baru-baru ini menyebabkan beberapa kawasan Singapura, Malaysia dan Indonesia dilanda jerebu yang teruk sehingga indeks pencemaran udara menunjukkan kualiti udara yang tidak sihat.
Mengenai tuduhan media Indonesia bahawa jerebu itu disebabkan pembakaran terbuka oleh syarikat Malaysia di negara itu, Azmi berkata kerajaan Indonesia boleh mengenakan tindakan undang-undang sekiranya perkara itu terbukti benar.
"Kerajaan Malaysia tidak melindungi sesiapa kalau ada syarikat Malaysia yang melakukan, (Kerajaan Indonesia boleh) ambil tindakan dan kenakan hukuman yang berat," katanya yang mengakui jerebu turut memberikan sedikit kesan kepada industri pelancongan negara.
Azmi berkata Ketua-ketua negara Asean, Menteri-menteri Luar dan pegawai-pegawai terbabit bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama jerebu yang menyeberangi sempadan bagi mengenal pasti langkah bersama untuk menangani jerebu pada 2002.
Bagaimanapun, katanya, Indonesia tidak sanggup memberikan komitmen terhadap penubuhan jawatankuasa yang dipersetujui oleh semua negara Asean yang terlibat dengan masalah jerebu itu.
"Setelah tandatangani semua (perjanjian itu) baru kita boleh buat rancangan konkrit untuk tangani masalah ini dalam jangka panjang, tanpa sesuatu perjanjian amat sukar untuk kita membuat komitmen," katanya.
Buat masa ini, katanya, Malaysia hanya mampu untuk memberikan nasihat kepada rakyatnya supaya tidak membuat pembakaran terbuka dan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar.
Mengenai keraguan segelintir masyarakat mengenai indeks pencemar udara (IPU) Petaling Jaya yang dikatakan tidak tepat, beliau berkata IPU disukat menggunakan kaedah yang betul dan perubahan mendadak IPU bergantung kepada faktor angin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.