Putera Umno tidak lindungi Mat Rempit langgar undang-undang
Putera Umno tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan Mat Rempit yang bertindak melanggar undang-undang negara, walaupun pergerakan tersebut sedang melaksanakan program untuk membantu mereka kembali ke pangkalan jalan.
Putera Umno tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan Mat Rempit yang bertindak melanggar undang-undang negara, walaupun pergerakan tersebut sedang melaksanakan program untuk membantu mereka kembali ke pangkalan jalan.
Sehubungan itu, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya menyokong tindakan tegas kerajaan untuk membanteras gejala Mat Rempit yang tidak bertanggungjawab itu, termasuk merampas motosikal mereka.
Malah Putera Umno juga bersedia berkerjasama kepada pihak polis untuk membanteras kegiatan tidak bermoral di kalangan Mat Rempit, katanya sebagai mengulas kejadian di mana seorang Mat Rempit mati ditikam dalam satu pergaduhan di Kuala Lumpur malam Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, Agus Asrafi Sumarji, 21, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur maut dipercayai ditikam dengan pisau manakala seorang rakannya cedera.
Abdul Azeez menyifatkan kejadian tersebut sebagai memalukan dan langkah segera yang tegas perlu diambil daripada berulang.
"Jika tindakan merampas motosikal itu boleh menyelesaikan masalah, undang-undang perlu dipinda segera bagoi membolehkan tindakan itu diambil segera," katanya.
Kelmarin, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum berkata, pihak berkuasa bercadang merampas motoskil Mat Rempit yang yang terbabit dengan lumba haram.
Hormati undang-undang
"Kita mahu polis bertindak tegas membasmi Mat Rempit daripada bermaharajalela melakukan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara," kata Azeez lagi.
Beliau menegaskan, Putera Umno tidak akan melindungi Mat Rempit yang jahat, terbabit dengan dadah, lumba, haram, buli, maksiat dan sebagainya.
"Mat Rempit tidak boleh melawan undang-undang. Mereka yang berbuat demikian perlu dikenakan hukuman berat," katanya.
Tegasnya, Putera Umno tidak pernah cuba melindungi mana-mana Mat Rempit yang terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bermoral.
"Kita tidak menyokong Mat Rempit yang terbabit dengan jenayah," katanya.
Beliau berkata, matlamat Putera Umno ialah membimbing Mat Rempit yang bermasalah kembali ke pangkal jalan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.