Malaysiakini
BERITA

Pemuda Umno saran keluar PN jika k'jaan masih tak peduli titah Agong

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Jun 2021, 5:49 pagi

Pemuda Umno Terengganu mencadangkan kepimpinan tertinggi parti itu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya persidangan parlimen tidak berlangsung dalam kadar segera.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, cadangan itu bagi mengelak Umno terpalit dengan politik derhaka terhadap titah istana.

"Kami mencadangkan agar Umno perlu segera keluar daripada kerajaan ini supaya tidak terpalit dengan politik derhaka raja seandainya pendirian kerajaan terus acuh tidak acuh merealisasikan titah raja dan tuntutan rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong. Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan pada hari yang sama berkata, baginda tidak menyatakan sebarang tarikh yang khusus untuk parlimen dibuka semula.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) kemudian memaklumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional mengambil maklum akan titah berkenaan, namun tidak memberikan sebarang tarikh untuk parlimen bersidang. 

Untuk rekod, pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang diadakan Mac lalu, parti itu membuat ketetapan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pada perhimpunan itu juga Umno memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, Pemuda Umno Malaysia turut mendesak kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan parlimen bersidang sebelum darurat tamat 1 Ogos ini.

Dalam perkembangan sama Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, menegaskan helah kerajaan untuk membuka sidang parlimen selepas darurat melanggar Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara serta keluhuran perlembagaan.

"Ia sekali gus merupakan penderhakaan terhadap institusi Raja-raja Melayu.

"Pemuda Umno Kelantan tidak teragak-agak mendesak majlis kerja tertinggi Umno dan ahli-ahli Parlimen Umno menarik diri segera daripada kerajaan PN sebagai manifestasi untuk tidak berkompromi dengan helah penderhaka yang melanggar titah Yang Di-Pertuan Agong," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.