Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan tokoh politik, Dr Jeffrey Kitingan yang menyertai parti pembangkang itu baru-baru ini, yang menjadi sasaran kritikan hebat pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah.

Timbalan Ketua Perhubungan PKR Sabah, Christina Liew berkata, parti pembangkang itu menerima sesiapa sahaja yang bersedia berjuang untuk keadilan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas apa yang dianggap sebagai percubaan untuk memburuk-burukkan Dr Jeffrey yang menyertai PKR hujung lalu, yang mendakwa menyertai parti itu bersama-sama sejumlah 17,000 penyokongnya.

"Jika diperika rekod (Dr Jeffrey) sejak daripada belajar di luar negara lagi, beliau sentiasa berjuang mempertahankan hak negeri itu. Kerana itulah dia pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.

Tambahnya lagi, apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan abangnya Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin menyertai BN, Dr Jeffrey tidak turut serta tetapi sebaliknya telah dijadikan 'kambinghitam' sebab PBS menentang BN.

Keputusan Dr Jeffrey untuk menyertai PKR dikatakan telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin BN.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Musa Aman, Pairin and Timbalan Presiden PBD, Datuk Dr Maximus Ongkilili, menyindir Dr Jeffrey yang menurut mereka hanya 'memainkan lagu lama' dalam membangkitkan isu mengenai hak negeri itu.

Hak tersebut, antara lain, termasuklah pembayaran royalti minyak dan perlantikan rakyat Sabah ke jawatan diplomati seperti dilantik menjadi duta ke negara asing.

Walaupun kebanyakan perkara dalam Perjanjian 20 Perkara itu tidak relevan lagi, tetapi Liew berkata lima atau enam perkara masih lagi relevan.

Misalnya, kata pemimpin PKR itu, rakyat Sabah layak untuk dilantik sebagai duta dan memegang jawatan menteri yang lebih penting.

Rakyat mahu perubahan

Mengenai jumlah penyokong yang didakwa bersama Kitingan menyertai PKR, Liew berkata: "Kita telah kehabisan borang permohonan, dan ini menunjukkan majoriti senyap yang mahu kami membawa perubahan di Sabah."

Hakikatnya, tambah beliau, tindakan sesetengah pemimpin BN memburuk-burukkan Dr Jeffrey (foto) menunjukkan bahawa mereka tidak senang dan dapat merasai perubahan yang berlaku di kalangan rakyat.

"Kita tidak mencuri ahli-ahli parti lain. Mereka secara sukarela menyerta kita," tambahnya.

Akhbar-akhbar tempatan melaporkan Ketua Menteri sebagai berkata parti-parti seperti PKR merupakan parti dan ahli-ahli politik pembangkang bermusim.

"Jika saya ini ahli politik bermusim, bagaimana saya masih tetap bersama PKR," tegas Liew.

Beliau mendakwa sejak kebelakangan ini, kerajaan BN Sabah telah mula memberi janji untuk menyediakan bekalan air dan elektrik di kawasan-kawasan yang didiami pendatang haram, termasuk di Sandakan yang merupaka tempat Musa.

Salah satu dakwaan parti pembangkang ialah BN mendapatkan undi daripada pendatang haram yang menggunakan kad pengenalan palsu atau sementara. Berita asal