Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Op khas samseng jalanan: Polis tahan 36 lelaki, dua perempuan
Diterbitkan:  Jun 21, 2021 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Seramai 12 remaja ditahan polis di sekitar Lebuhraya Selat Klang Utara malam tadi, kerana terlibat dalam perlumbaan haram.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, remaja terbabit merupakan sebahagian daripada 38 individu terdiri daripada 36 lelaki dan dua wanita berusia di antara 16 hingga 25 tahun, yang ditahan hasil Op Khas Samseng Jalanan.

Beliau berkata 12 remaja terbabit diambil tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya.

“Sebanyak 35 buah motosikal dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk pemeriksaan lanjut dan 92 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta 24 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kompaun telah dikenakan kepada 38 orang di bawah Seksyen 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kerana kesalahan berkumpul di tempat awam untuk berlumba haram dan tiada penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, masyarakat disarankan supaya tidak terlibat dengan kegiatan lumba haram dan ibu bapa hendaklah memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dengan lumba haram, berkumpul dan keluar rumah tanpa tujuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS