Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan pelajar tawar bantuan untuk parlimen bersidang semula
Diterbitkan:  Jun 21, 2021 5:27 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menawarkan bantuan kepada parlimen untuk melancarkan mesyuarat Dewan Rakyat jika ia dibuka semula.

KMUM menawarkan perkara itu setelah memperoleh pengalaman melalui persidangan Parlimen Mahasiswa Universiti Malaya secara hibrid pada 13 dan 14 Mac lalu, ketika tempoh darurat.

“KMUM bersedia membantu pihak parlimen Malaysia untuk menjalankan persidangan parlimen sama ada secara hibrid mahupun dalam talian,” kata KMUM.

Yang di-Pertuan Agong selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja pada 16 Jun berpandangan parlimen perlu dibuka secepat mungkin, antaranya bagi membolehkan ordinan-ordinan darurat dibahaskan.

Parlimen Malaysia, gambar hiasan

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menyatakan Agong tidak menyatakan tarikh khusus bilakah parlimen wajar bersidang.

Pejabat Perdana Menteri pula berkata kerajaan menjunjung titah dan akan mengambil langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Ketika belum ada reaksi pasti daripada kerajaan, pembangkang, Umno dan kumpulan masyarakat madani mendesak sidang parlimen diadakan segera.

Dalam kenyataan hari ini, KMUM berkata rujukan juga boleh dibuat dengan negara lain yang menjalankan sidang parlimen maya dan penganjur program seperti Parlimen Digital, Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Virtual dan Persidangan Parlimen Mahasiswa.

“Walaupun berdepan dengan kekangan sumber, namun, hal ini tidak sepatutnya menjadi penghalang. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Diharapkan agar mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman dibenarkan untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab”, tambah KMUM.

Lihat Komen
ADS