Asli akui laporannya tidak cermin gambaran sebenar ekuiti bumiputera
Selepas dikritik hebat daripada pemimpin tinggi Umno, khusus Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) mengakui laporannya mengenai ekuiti korporat bumiputera tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.
Selepas dikritik hebat daripada pemimpin tinggi Umno, khusus Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) mengakui laporannya mengenai ekuiti korporat bumiputera tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.
Asli juga menegaskan institut itu tidak pernah mempunyai agenda selain untuk membantu mewujudkan masyarakat yang lebih baik menerusi penggalakkan pemikiran strategik dan kepimpinan berkualiti.
Presidennya Mirzan Mahathir berkata, setelah meneliti semula kaedah dan rumusan
laporan
itu, "Asli merumuskan ada kelemahan dalam andaian dan perkiraan yang membawa kepada rumusan yang tidak ada justifikasi."
Menurut laporan Bernama, Mirzan juga berkata, Asli amat kesal dengan kekecewaan dan kekeliruan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia berikutan laporan yang dikeluarkan Pusat Kajian Dasar Awam institut tersebut mengenai pemilikan ekuiti korporat bumiputera.
"Oleh kerana 30 peratus pemilikan ekuiti korporat oleh bumiputera merupakan satu daripada sasaran utama NEP (Dasar Ekonomi Negara), adalah penting untuk mempunyai metodologi yang boleh dipercayai untuk mengukur kejayaan kerajaan dalam mencapai sasaran itu," katanya dalam kenyataan semalam.
Laporan pusat itu yang menganggarkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam adalah mungkin setinggi 45 peratus daripada jumlah ekuiti yang diniagakan di Bursa Malaysia telah dipertikaikan oleh banyak pihak.
Untuk RMK9
Perdana Menteri, semasa mengulas isu itu pada Khamis, menolak hasil kajian itu sebagai tidak berasas dan tidak tepat kerana beberapa petunjuk yang digunakan oleh pusat itu adalah tidak relevan.
Berikutan itu, Mirzan berkata, laporan itu serta reaksi terhadapnya akan dijadikan sebagai peringatan "mengenai keunikan kualiti negara kita yang tercinta".
"Kami dengan rendah diri menerima semua kritikan yang dilemparkan kepada ASLI dengan hati terbuka dalam usaha kami untuk memperbaiki diri kami untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada Malaysia," tambahnya.
Menurutnya, dalam sejarahnya selama 13 tahun, Asli tidak pernah mempunyai agenda selain daripada untuk membantu mewujudkan masyarakat yang lebih baik menerusi penggalakkan pemikiran strategik dan kepimpinan berkualiti.
Mirzan juga berkata laporan itu merupakan sebahagian set cadangan pusat itu kepada kerajaan Malaysia untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang diserahkan Mac lalu.
"Laporan itu telah mencetuskan debat awam mengenai perkara itu yang kita harap akan memberikan lebih pemahaman akan merit metodologi sedia ada.
"Semua metodologi adalah yang terbaik bagi membuat anggaran baik akan keadaan sebenar dan berikutan pentingnya perkara itu kepada orang ramai, sepatutnya ia dilakukan setelus mungkin," katanya.

