Kontroversi laporan Asli: Dr Lim letak jawatan
Dr Lim Teck Ghee telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) berhubung laporan kontroversi mengenai pemilikan ekuiti bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Dr Lim Teck Ghee telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) berhubung laporan kontroversi mengenai pemilikan ekuiti bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Kajian tersebut yang dijalankan oleh pusat berkenaan, bertajuk "Pengagihan Ekuiti Korporat Trend Masa lalu dan Dasar Akan Datang' membuat kesimpulan bahawa sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat bumiputera di bawah DEB telah melebihi matlamatnya.
Kajian tersebut menganggarkan angkanya di sekitar 45 peratus, berdasarkan pada perangkaan Bursa Malaysia bagi bulan September 2005.
Laporan mengenai hasil kajian tersebut telah mencetus kontroversi dan dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin tinggi Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Berikutan itu, Presiden Asli, Mirzan Mahathir, dalam satu kenyataan semalam, mengakui bahawa laporannya mengenai ekuiti korporat bumiputera itu tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.
Menurutnya, setelah meneliti semula kaedah dan rumusan laporan itu, "Asli merumuskan ada kelemahan dalam andaian dan perkiraan yang membawa kepada rumusan yang tidak ada justifikasi."
Tidak sehaluan
Sementara itu, Dr Lim dalam satu kenyataan hari ini, berkata Mirzan (foto) telah mengeluarkan kenyataan akhbar dalam responsnya kepada pelbagai reaksi berhubung hasil kajian CPPS mengenai pemilikan ekuiti bumiputera.
"Sebagai Pengarah CPPS, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya, dan mempertahankan hasil kajian tersebut dan kajian-kajian lain yang telah kami kemukakan dalam laporan kepada kerajaan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan pada Februari 2006," katanya.
Dr Lim berkata, memandangkan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Mirzan itu, dan kerana perlunya mempertahankan kedudukan dan kebebasan kesarjanaan, maka beliau telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pengarah CPPS hujung bulan ini.
Sehubungan itu, Dr Lim berharap 'ruang awam' yang dibuka hasil kerja-kerja pusat tersebut dalam isu berkenaan dan isu-isu penting yang lain, akan diperluas dan dilindungi sebaik-baiknya oleh pihak lain.
"Ia adalah satu hak asasi rakyat Malaysia untuk mempersoalkan dasar-dasar dan statistik kerajaan, lebih-lebih lagi apabila ia tidak telus atau boleh dipertahankan," katanya.
Beliau juga mengucap terima kasih kepada Asli kerana memberi beliau peluang untuk berkhidmat untuk negara melalui institut tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.