Para menteri alam sekitar dari lima negara Asean akan bertemu di Singapura Jumaat ini ketika semakin meningkatnya kekecewaan negara-negara yang terjejas akibat jerebu, yang berpunca daripada kebakaran hutan dan semak di Kalimantan dan Sumatra, di Indonesia.

Mesyuarat sehari itu atas jemputan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Dr Yaacob Ibrahim akan membincangkan langkah segera dan usaha jangka panjang bagi menangani masalah jerebu.

Menurut Bernama, ia akan dihadiri oleh Indonesia, Malaysia, Thailand, Brunei dan tuan rumah Singapura negara-negara yang terjejas terus akibat masalah jerebu semasa.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Datuk Seri Azmi Khalid dijangka mewakili Malaysia di mesyuarat tersebut.

Selepas krisis alam sekitar yang teruk yang berpunca daripada masalah jerebu pada akhir 1990-an, 10 negara anggota Asean menandatangani satu perjanjian alam sekitar pada 2002 bagi mengawal pencemaran akibat jerebu di rantau itu.

Sejak itu, tujuh negara Brunei, Malaysia, Laos, Singapura, Thailand, Myanmar dan Vietnam -- sudah mengesahkan perjanjian terbabit.

Indonesia, negara yang kerap dipersalahkan kerana menjadi punca jerebu, dilaporkan masih dalam proses untuk mengesahkan perjanjian berkenaan.

Serah memorandum

Sementara itu, Pemuda Umno telah menyerahkan memorandum mengenai jerebu kepada Kedutaan Indonesia hari ini. Ia diserahkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kepada Setiausaha Kedua kedutaan itu Susapto.

Pergerakan itu mahukan kerajaan Indonesia melaksanakan segera Pelan Tindakan Hanoi 1998 dalam menangani masalah jerebu yang berpunca dari negara tersebut yang turut memberikan kesan kepada Malaysia.

Pelan Asean itu menggariskan pelbagai langkah mengawal jerebu melalui pemadaman kebakaran hutan, pembenihan awan dan pemantauan menerusi satelit.

Khairy berkata pergerakan itu juga mahu Perjanjian Merentas Sempadan Asean 2003 turut dilaksanakan dalam mengatasi masalah jerebu di rantau ini. Perjanjian itu masih dibincangkan dan belum diluluskan Parlimen Indonesia.

Khairy berkata Pemuda Umno juga mahu republik itu meminta bantuan negara jiran untuk menangani masalah jerebu, di samping mengenakan tindakan tegas ke atas pihak yang menyebabkan kebakaran itu termasuk syarikat Malaysia yang beroperasi di negara tersebut.