Lim: Asli tunduk pada tekanan politik?
Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) menghadapi tekanan politik supaya mengakui kesilapan kajiannya mengenai pemilikan ekuiti bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) menghadapi tekanan politik supaya mengakui kesilapan kajiannya mengenai pemilikan ekuiti bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Dalam satu kenyataannya, Lim juga bertanya-tanya sama ada para pengarah Asli juga bersetuju dengan pendirian Presiden institut tersebut, Mirzan Mahathir.
Semalam, dalam satu kenyataan, Mirzan mengakui laporan yang dikeluarkan Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), Asli mengenai ekuiti korporat bumiputera tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.
Menurut Mirzan lagi, setelah meneliti semula kaedah dan rumusan laporan itu, "Asli merumuskan ada kelemahan dalam andaian dan perkiraan yang membawa kepada rumusan yang tidak ada justifikasi."
Sehubungan itu, katanya, Asli amat kesal dengan kekecewaan dan kekeliruan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia dalam laporan CPPS mengenai pemilikan ekuiti korporat bumiputera.
Hasil kajian tersebut yang mengatakan bumiputera sudah mencapai kira-kira 45 peratus pegangan ekuiti di bawah DEB, telah dikritik hebat oleh pelbagai pihak, termasuk pemimpin tinggi Umno, khusus Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, kerajaan menegaskan bahawa peratus pemilikan bumiputera adalah sekitar 18 hingga 19 peratus sahaja.
Pendirian Mirzan sahaja?
Sementara itu, Lim mempersoal sama ada ianya merupakan pendirian Mirzan seorang sahaja ataupun pandangan bersama kesemua pengarah Asli dan CPPS.
Beliau bertanya, sama ada Mirzan telah membandingkan metodologi yang digunakan oleh Unit Perancang Ekonomi dan CPPS untuk mencapai rumusan yang berdasarkan fakta.
Jika tidak, Lim bertanya, apakah asas rumusan Mirzan bahawa "ada kelemahan dalam andaian dan perkiraan yang membawa kepada rumusan yang tidak ada justifikasi."
"Dengan mengketepikan seketika merit atau sebaliknya bagi kedua-dua dakwaan tersebut, persoalannya ialah apakah kepentingan dan tekanan politik telah mengatasi perbahasan akademik, intelektual dan rasional dan usaha untuk mencari kebenaran?" tambanya.
Ekoran kenyataan Mirzan itu, Pengarah CPPS, Dr Lim Teck Ghee telah meletakkan jawatan demi mempertahankan hasil kajian tersebut dan kajian-kajian lain yang telah kemukakan dalam laporan kepada kerajaan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan pada Februari 2006.
Dr Lim berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Mirzan itu, dan demi mempertahankan kedudukan dan kebebasan kesarjanaan, maka beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pengarah CPPS hujung bulan ini. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.