Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Mulanya Di Sini bersama kumpulan Freedom pada satu ketika dulu, Seha, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur jam 8.30 pagi ini kerana kanser paru-paru.

Seha, 44, yang namanya Norsehah Abu Bakar dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur tiga hari lalu untuk sesi kimoterapinya yang ketiga.

"Dia kelihatan letih sejak kimoterapi. Semalam Seha asyik tidur sahaja, dia bangun hanya untuk makan tengah hari dan minum petang.

Lepas itu dia tidur balik kerana letih sangat. Saya tinggalkan dia jam 5 petang semalam," katanya suaminya Azmi Thambi Chik kepada pemberita di rumah mayat hospital tersebut.

Menurut laporan Bernama, Azmi, 41, yang berkahwin dengan Seha tiga tahun lalu, berkata seorang petugas hospital menelefon beliau pada jam 8 pagi ini memberitahu bahawa Seha dalam keadan kritikal.

Hasrat pulang raya

"Saya sampai jam 8.20 pagi dan arwah hanya bergantung kepada mesin bantuan hayat. Dia meninggal dunia pada pukul 8.30," katanya.

Katanya mereka memang ada rancangan untuk pulang ke kampung Seha di Air Putih, Kuantan, pada hari raya ketiga dan keempat.

Azmi merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industrial Estate Berhad (MIEL) dan dua orang anak berusia 15 dan 10 tahun.

Jenazah Allahyarhamah telah dibawa ke rumah abangnya di No. 9, Jalan Kesuma 2, Taman Kesuma, Ampang dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang selepas solat Asar