Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) diminta lebih berhati-hati menerbitkan laporan pada masa depan yang menyentuh isu-isu mengenai kaum dan perkara sensitif yang lain," kata Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau juga mengingatkan supaya jangan sewenang-wenangnya membuat laporan dan kesimpulan yang membangkitkan kemarahan orang ramai, dan kemudian dengan mudah pula mengakuinya sebagai satu kesilapan.

"Saya rasa sebelum mengumumkan sesuatu hasil kajian, kita perlu pastikan dulu methodologinya betul. Lebih-lebih lagi apabila kita cuba mempertikaikan angka dan methodologi yang digunakan oleh kerajaan dalam dokumen rasmi."

"Jelas sekali methodologi yang digunakan oleh Asli tidak betul, jadi hasilnya tidak adil dan mungkin tidak tepat. Sekarang terbukti hasil kajian tersebut tidak berasas," katanya di ibunegara hari ini.

Khairy mengulas kenyataan Presiden Asli, Encik Mirzan Mahathir yang mengakui laporan Asli mengenai ekuiti korporat bumiputera tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.

Dalam kenyataan itu semalam, Mirzan berkata, setelah meneliti semula kaedah dan rumusan laporan itu, Asli merumuskan ada kelemahan dalam andaian dan perkiraan yang membawa kepada rumusan yang tidak ada justifikasi.

'Kenyataan jujur'

Beliau juga berkata, Asli amat kesal dengan kekecewaan dan kekeliruan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia berikutan laporan yang dikeluarkan Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) institut tersebut mengenai pemilikan ekuiti korporat bumiputera.

Laporan Asli bertajuk "Pengagihan Ekuiti Korporat Trend Masa lalu dan Dasar Akan Datang' membuat kesimpulan pemilikan ekuiti korporat orang Melayu telah mencapai 45 peratus, melebihi 30 peratus yang disasarakan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Apabila dimaklumkan bahaw para penyelidik yang menghasilkan laporan tersebut tetap mempertahankan hasil kajian mereka, Khairy berkata; "Saya harap kenyataan Asli yang dibuat oleh Mirzan itu adalah jujur dan bukannya satu tindakan politik."

Akhbar The Sun melaporkan hari ini bahawa"menyedari hakikat politik negara, para penyelidik yang menghasilkan laporan itu tidak mempunyai pilihan selain menarik balik laporan mereka bagi menghentikan segala kriikan terhadap Asli...".

Dalam hal ini, Khairy menegaskan: "Kalaulah tindakan Asli itu hanya satu keputusan politik bagi meredakan suasana dan mengambil hati orang Melayu, saya rasa ia akan hanya memburukkan lagi keadaan.

"Saya harap apa yang disebut dalam laporan akhbar itu tidak betul...kalau ia benar, saya amat terkejut," ujarnya.

Jadi pengajaran

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir pula mahu "kesilapan" yang dilakukan oleh Asli itu dijadikan pengajaran oleh semua pihak di negara ini.

"Kita berharap mana-mana pihak pun jangan terlalu bangga dan ghairah dengan angka mereka. Kalau data atau laporan tidak betul, ia akan mendatangkan implikasi yang berbagai-bagai. Kita tidak mahu timbul silap faham."

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Asli kerana mengakui kesilapannya dan diharapkan isu ini tidak dibangkit-bangkitkan lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Izat berkata, dalam mengkaji pencapaian korporat orang Melayu, pihak berkenaan tidak boleh terlalu melihat pada angka-angka sahaja kerana masih terdapat banyak perkara perlu diambilkira.

"Walau apapun angkanya, perjuangan memartabatkan ekonomi orang Melayu masih belum selesai. Semua pihak kena berhati-hati dan menerima hakikat bahawa ekonomi orang Melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

"Di samping itu, orang Melayu pula perlu berkerja kuat dan hendaklah menggunakan sepenuhnya peluang-peluang yang diberikan," tambahnya. Berita asal