Inkues tahanan wanita mati dalam lokap Wangsa Maju
Polis akan mengadakan inkues berhubung kematian seorang tahanan wanita dalam lokap polis Wangsa Maju pada 12 September lalu.
Polis akan mengadakan inkues berhubung kematian seorang tahanan wanita dalam lokap polis Wangsa Maju pada 12 September lalu.
"Kami perlu menjalankan inkues ini segera bagi menjelaskan keadaan, terutamanya apabila terdapat dakwaan bahawa polis mengkasari tahanan itu," kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Bahrin Idrus kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, polis akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi mengenai inkues itu.
Samiyati Indrayani Zulkarnain, 45, ditahan di Hulu Klang pada 10 September kerana memiliki lapan gram heroin.
Dia dibawa ke Balai Polis Sentul sebelum ditahan di lokap Balai Polis Wangsa Maju dan didapati meninggal dunia dua hari kemudian.
Laporan polis
"Kami segera menjalankan siasatan di bawah Laporan Kematian Mengejut dan laporan patologi mengesahkan Samiyati mati akibat pendarahan dalam otak dengan pengembangan ventrikul dalaman dan lubang pada ulser dalam gaster.
"Saudara lelaki tahanan itu yang membuat laporan pada 15 September di ibu pejabat Polis Dang Wangi, mahukan siasatan terbuka dengan campurtangan ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman," kata Ahmad Bahrin.
Beliau berkata polis yakin tiada sebarang perbuatan khianat dalam kematian Samiyati.
"Terdapat penjelasan saintifik berhubung kematiannya dan ia akan didedahkan apabila kami mengadakan inkues itu. Kita tunggu dan lihat," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.