Khaled: PKP separuh masak longgar SOP untuk 'anak emas' sektor industri
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menempelak "PKP separuh masak" yang antaranya memberi kelonggaran kepada "anak emas" sektor industri walaupun menjadi penyumbang terbesar kes Covid-19.
"PKP disambung lagi. Memang sudah dijangkakan. Ini kerana kes harian kita bagi setiap juta penduduk adalah antara tertinggi di dunia dan pada angka menakutkan.
"Perkara itu semua kita tahu dan sedar. Dan kita tidak mempertikaikannya.
"Yang kita persoalkan adalah, sampai bila kita harus berada dalam PKP dan ‘kuncitara’ separa masak seperti ini," soalnya pada satu kenyataan hari ini.
Menurut Khaled punca utama penularan kes bukan rakyat yang tidak patuh dan degil.
"Kluster harian dari masyarakat awam adalah minimum. Namun, semua rakyat dikerah berkurung dengan tegas dan diminta bersabar dan terus bersabar.
"Data menunjukkan kilang-kilang dan sektor industri yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes.
"Tetapi, merekalah anak emas yang mendapat banyak sekali kelonggaran dan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala," katanya lagi.
Pelaksanaan PKP yang sebegini, kata Khaled seperti "meletakkan ubat di tempat yang tidakpun sakit."
"Sedangkan bahagian yang luka tidak pula merawat.
"Jawabnya sampai ke sudah situasi dalam negara tidak akan ‘sihat’ dan sembuh.
"Jika ini pendekatan yang dikekalkan, sampai tamat tempoh darurat (1 Ogos) nanti pun belum tentu keadaan akan bertambah baik," katanya lagi.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan fasa pertama Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir esok tidak akan ditamatkan malah akan diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini.
Jelas Muhyiddin, fasa pertama itu akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.
Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 5,586 kes baru Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari ini.
Jumlah kematian pada bulan Jun sahaja ialah seramai 2,088 orang.
Khaled juga menggesa kerajaan untuk melaksanakan segera beberapa perkara kritikal yang mesti dilaksanakan segara serta "bukan hanya mengkaji dan mengkaji."
"Pertama, pertambahan bantuan tunai/sara hidup kepada mereka yang terkesan. Sangat ramai yang sedang tertekan dan berada dalam keadaan yang kritikal. Tolonglah beri perhatian kepada mereka ini dengan segera.
"Kedua, uruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes yang begitu rendah dengan cara berbeza. PKP seluruh negara hanyalah jalan keluar yang culas, pukul rata dan menghukum semua pihak secara tidak adil.
"Ketiga, tolonglah semak dan pantau kilang-kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian. Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas. Bukannya dengan terus mengurung seluruh negara," katanya.

