Kes kematian Samiyati Indrayani Zulkarnain tahanan wanita dalam lokap polis Wangsa Maju mesti disiasat oleh sebuah badan bebas dan bukannya melalui inkues yang bergantung kepada hasil siasatan polis.

Naib Ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR) S Manikavasagam (foto) berkata, inkues yang sama pernah diadakan pada masa lalu, seperti dalam kes kematian G Francis Udayappan, yang berakhir tidak lebih dengan keputusan yang umum selepas dua tahun berjalan.

"Mengapa kita perlu mengadakan inkues? Kita mahu mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian Samiyati didakwa atas tuduhan kecuaian jenayah," katanya apabila dimaklumkan mengenai langkah polis untuk mengadakan inkues terhadap kematian Samiyati.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Bahrin Idrus dipetik oleh Bernama sebagai berkata, polis perlu menjalankan inkues itu segera bagi menjelaskan keadaan, terutamanya apabila terdapat dakwaan bahawa polis mengkasari tahanan itu.

Samiyati Indrayani Zulkarnain, 45, ditahan di Hulu Klang pada 10 September kerana memiliki lapan gram heroin.

Dia dibawa ke Balai Polis Sentul sebelum ditahan di lokap Balai Polis Wangsa Maju dan didapati meninggal dunia dua hari kemudian.

"Kami akan segera menjalankan siasatan di bawah Laporan Kematian Mengejut dan laporan patologi mengesahkan Samiyati mati akibat pendarahan dalam otak dengan pengembangan ventrikul dalaman dan lubang pada ulser dalam gaster," kata Ahmad Bahrin lagi.

Minggu lalu, Manickavasagam telah mengemukakan memorandum kepada pihak polis mendesak supaya satu siasatan bebas dijalankan terhadap kejadian tersebut.

Siasatan polis 'tidak bebas'

Saudara lelaki Samiyati Monasuffian telah membuat laporan polis terhadap kematian kakaknya itu. Beliau mendakwa pihak polis gagal membantu kakaknya mendapatkan sebarang bantuan perubatan.

Beliau juga mendakwa terdapat kesan-kesan lebam pada badan Samiyati.

Sementara itu, peguam Monasufian P Uthayakumar berkata dakwaan salahlaku pihak polis itu sepatutnya disiasat oleh sebuah badan bebas seperti Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis yang dicadangkan penubuhannya.

Menurutnya, inkues bergantung kepada hasil siasatan polis, yang didakwanya selama ini keberatan untuk membabitkan anggotanya dalam sebarang dakwaan salahlaku.

Ekoran itu, katanya, inkues akan berakhir dengan keputusan yang umum, kata peguam tersebut, yang sebelum ini pernah terbabit dalam empat inkues sejak tempat tahun yang lalu.

Beliau percaya, berlaku kecuaian yang jelas dalam kes Samiyati kerana dia berada dalam pengawasan anggota polis sepanjang masa.

"Dari segi logikya, tidak ada orang yang mati secara tiba-tiba. Kebanyakan penyakit menunjukkan tanda-tandanya dan suspek yang tidak sihat mesti diberi rawatan perubatan.

"Kegagalan berbuat demikian dalam tempoh masa yang munasabah adalah satu kecuaian jenayah. Tidak sesiapa pun yang sepatutnya mati dalam lokap polis," tambahnya. Berita asal