Kerajaan Indonesia telah memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura ekoran kejadian jerebu yang teruk menyelebungi kedua-dua negara jirannya itu serta bersetuju mengadakan mesyuarat menteri alam sekitar bagi menangani masalah tersebut.

Malaysia dan Singapura dilanda masalah jerebu yang teruk akibat pembakaran di Sumatra dan Kalimantan di Indonesiaf. Jerebu melanda rantau Asia Tenggara setiap tahun, yang menjejaskan kesihatan serta industri pelancongan dan pengangkutan.

"Bagi pihak kerajaan Indonesia, saya perlu memohon maaf kepada negara-negara jiran ekoran kejadian jerebu walaupun ia bukan disengajakan oleh Indonesia," kata Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

"Jelas sekali, ini bukan masalah yang kami sengajakan terhadap negara-negara jiran kami dan kami sedang berusaha untuk menangani dan mencegahnya berulang pada masa depan," kata Yudhoyono dalam satu sidang di pejabatnya di Jakarta.

Semalam, Kementerian Luar Singapura berkata, Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong telah menulis surat kepada Yudhoyono bagi menyuarakan kekecewaannya terhadap masalah jerebu yang berulang dan semakin buruk tahun ini.

Surat itu dihantar menjelang mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar Asean yang mulanya dijadual diadakan di Singapura esok, tetapi kini diubah ke Indonesia bagi mencari jalan untuk menangani masalah itu.

Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Malaysia, Datuk Azmi Khalid turut membangkitkan masalah jerebu yang teruk melanda Malaysia sehingga menjejaskan kualiti udaranya.

Mesyuarat di Pekanbaru?

Singapura telah menjemput menteri alam sekitar negara anggota Asean yang terjejas dengan masalah jerebu Indonesia, Malaysia, Thailand dan Brunei menghadiri mesyuarat di republik tersebut untuk mencari langkah segera mengatasinya.

Bagaimanapun, Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirayuda mahu mesyuarat tersebut diadakan di negaranya, kemungkinan besar di bandar Pekanbaru di wilayah Riau, Sumatra, berhampiran Singapura.

"Kami mahu mesyuarat itu diadakan berhamprian tempat di mana masalah tersebut sedang ditangani," katanya kepada pemberita di Jakarta.

Wirayuda tidak menyatakan bila mesyuarat di Sumatra itu akan diadakan, tetapi pihak Singapura telah mengalu-alukan kenyataan Menteri Luar Indonesia itu.

"Kami gembira Indonesia memberi perhatian kepada gesaan supaya mengambil tindakan segera bagi menangani masalah yang serius ini," kata kenyataan Kementerian Luar Singapura.

"Kami memuji sikap Indonesia kerana mengambil tanggungjawab dan bersetuju untuk mengadakan mesyuarat tersebut. Singapura sedia memindahkan tempat mesyuarat itu ke Indonesia," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran negara-negara jiran yang dilanda masalah jerebu di mesyuarat tersebut boleh membantu Indonesia "mencegah berulangnya masalah itu pada masa depan dan mengambil tindakan segera untuk memadamkan kebakaran".

Buka ladang

Pembakaran yang dilakukan oleh firma-firma utama untuk membersihkan kawasan hutan untuk tujuan perladangan serta oleh para petani setiap tahun, menjadi punca berlakunya jerebu.

Yudhoyono berjanji akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan kebakaran tersebut.

"Syarikat perladangan masih lagi melanggar undang-undang dalam membuka ladang secara pembakaran....atau dikenali sebagai cara haram untuk membersihkan kawasan. Ini jelas satu jenayah yang mesti dihukum," katanya.

Awal minggu ini, Malaysia telah mengeluarkan amaran bahaya kepada kapal-kapal yang menggunakan Selat Melaka selepas keadaan jerebu yang menghadkan jarak penglihatan di sepanjang laluan tersebut.

Di Kuala Lumpur, Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras tidak sihat Isnin lalu, menyebabkan orang ramai terpaksa menggunakan penutup mulut.

Pada hari Sabtu, Agensi Alam Sekitar Singapura telah mengeluarkan peringatan kesihatan kerana masalah jerebu yang teruk. Berita asal