Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata masalah kekurangan bekalan gula sudah selesai dengan 95 peratus pasaran menerima bekalan mencukupi selepas pengilang meningkatkan pengeluaran.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan gula yang ada sekarang mencukupi sehingga akhir tahun ini.

Ekoran itu, katanya, semua pengilang gula di negara ini diarah menyediakan bekalan yang mencukupi untuk tahun depan bagi mengelakkan masalah kekurangan bahan itu berulang.

Untuk itu, katanya, pengilang harus bertindak sekarang untuk menampung keperluan termasuk mengimport gula mentah dari luar.

"Untuk menampung keperluan khasnya di dalam mendapatkan bekalan gula mentah dari luar, mereka bolehlah berbincang dengan kementerian yang terbabit," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media anjuran kementeriannya di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut laporan Bernama, sebelum itu semasa berucap, Shafie memberitahu, masalah bekalan gula adalah fenomena biasa disebabkan kenaikan harga gula mentah di pasaran antarabangsa yang berpunca daripada unsur-unsur seperti spekulasi.

Harga gula yang mencecah RM1,380 per tan metrik di antara bulan Februari hingga Mac kini sudah turun kepada RM600 per tan metrik.

Hargai pihak media

Shafie turut menyatakan penghargaannya kepada pihak media yang sentiasa membantu kementeriannya dalam membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai konsep kepenggunaan seperti menerapkan nilai-nilai berjimat cermat.

Dengan bantuan yang diberikan oleh pihak media selama ini, katanya, kesedaran pengguna mengenai kepenggunaan sudahpun meningkat, sekaligus akan membantu mereka menyesuaikan diri terhadap apa jua peningkatan harga barangan pengguna.

Sementara itu, di Kuching, Bernama melaporkan, 20 pemborong gula lapisan kedua di Sarawak akan dinaik taraf sebagai pemborong utama bagi membolehkan mereka mendapat bekalan terus daripada pengilang.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Iskandar Halim Sulaiman berkata, langkah tersebut sekaligus memberikan mereka margin keuntungan yang lebih tinggi.

Langkah itu juga, katanya, dapat memastikan bekalan gula dapat diagih kepada para peruncit terutamanya kedai kecil di kawasan pedalaman sekaligus memudahkan pengguna mendapat bekalan.

"Pemborong lapisan kedua ialah mereka yang mendapat bekalan daripada pemborong utama. Jadi dengan melantik dan menaik taraf para pemborong kedua menjadi pemborong lapisan pertama, mereka akan terus mendapat bekalan daripada pengilang.

"Selain itu ia dapat memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan membolehkan mereka mempunyai stok terutamanya bila kapal lambat sampai, dan meningkatkan margin keuntungan terutamanya bagi mereka di kawasan pedalaman yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang tinggi," katanya.

TLDM hantar gula

Beliau memberitahu demikian selepas meninjau kerja pemunggahan bekalan gula dari kapal KD Sri Inderapura milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pelabuhan Senari.

Kapal TLDM yang membawa sejumlah 1,353.2 metrik tan gula dari Dermaga Air Dalam Perai di Pulau Pinang itu tiba di sini petang semalam, berlepas ke Bintulu petang ini sebelum meneruskan perjalanan menghantar bekalan gula ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Iskandar Halim berkata pada masa ini terdapat 23 pemborong utama di Sarawak. Mereka mendapat bekalan terus daripada empat pengilang gula di Semenanjung iaitu Malayan Sugar Manufacturing Sdn Bhd, Central Sugars Refinery Sdn Bhd, Gula Padang Terap Berhad and Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd.

Selain masalah pengangkutan berikutan kapal lambat tiba, beliau berkata masalah kekurangan gula di Sarawak yang berlaku terutamanya sejak Julai lepas berpunca daripada masalah kekurangan bekalan yang diterima pemborong kerana pengilang mengurangkan pengeluaran.

Bagi keperluan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, beliau yakin bekalan kira-kira 406.9 metrik tan bagi Kuching dan kawasan berhampiran bandar raya itu mencukupi.

Sehingga hari ini sejumlah 3,100 metrik tan telah dihantar ke Sarawak.

Beliau berkata keperluan pada musim perayaan bagi negeri itu ialah kira-kira 6,000 metrik tan.

Mengenai peniaga yang menjual gula pada harga yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan kerajaan, Iskandar Halim berkata tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan sehingga kini sudah terdapat 10 peniaga dikenakan tindakan berkenaan.

Daripada jumlah itu, dua kes adalah di Sarawak.

Mengenai peniaga yang menyorok bekalan gula, beliau berkata setakat ini ada lima kes sahaja di seluruh negara dan mereka yang terbabit akan didakwa mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh membawa hukuman denda RM15,000 atau dua tahun penjara jika sabit kesalahan.