Perdana Menteri baru Thai, Surayud Chulanont mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi orang tengah dalam rundingan rahsia antara pegawai Thai dengan pemimpin Islam dari wilayah selatan Thai yang bergolak.

Awal bulan ini, seorang jurucakap pejabat Dr Mahathir (foto) berkata bekas Perdana Menteri itu telah mengatur pertemuan antara pegawai Thai dengan pemimpin masyarakat Islam di wilayah tersebut pada hujung tahun 2005.

Pemimpin tentera Thailand yang merampas kuasa bulan lalu, telah membayangkan bahawa kerajaan baru mahu mengadakan rundingan damai bagi menyelesaikan pergolakan di wilayah selatan negara itu.

"Saya belum mengkajinya secara terperinci, tetapi setakat yang saya tahu, Left-Jen Vaipot Srinual terbabit dalam rundingan tersebut, tetapi saya belum meminta beliau memberikan butir-butir lanjut mengenainya," kata bekas jeneral tentera yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand.

Vaipot sebelum ini merupakan Panglima Pusat Keselamatan Angkatan Tentera sebelum dilantik mengetuai Agensi Perisikan Negara.

Petanda baik

Surayud menyuarakan rasa optimisnya terhadap hasil rundingan tersebut, yang dipercayai telah diadakan sebanyak dua kali di Pulau Langkawi dan Putra Jaya di Malaysia. Bagaimanapun, ia tidak jelas siapakah pemimpin Islam Thai yang menghadiri rundingan tersebut.

"Saya rasa itu satu petanda yang baik kerana mereka sudahpun lama mengadakan rundingan, tetapi saya tidak tahu dengan siapakah mereka berunding, hanya sekadar (mengetahui) bahawa perjumpaan tersebut diatur oleh Dr Mahathir," kata Surayud.

Ditanya sama ada beliau merancng melawat wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat di selatan Thai, Surayud berkata beliau merasakan ia tidak perlu sehinggalah dasar kerajaan baru berhubung perkara itu diputuskan.

Minggu lalu, Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mengetuai rampasan kuasa bulan lalu, mengesahkan bahawa pihak kerajaan mahu mengadakan rundingan damai dengan puak pemisah Islam dan seorang pegawai kerajaan Thai pula berkata, perbincangan itu akan bermula awal bulan depan.

Keganasan dan pergolakan di selatan Thai telah mengorbankan lebih 1,500 orang sejak Januari 2004.

- AFP