Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantuan datang mencurah lepas kibar bendera putih
Diterbitkan:  Jun 30, 2021 8:30 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Akibat kehabisan wang dan bekalan makanan, seorang bapa kepada dua anak menaikkan bendera putih di hadapan rumahnya di Pulai, Johor untuk meminta bantuan daripada orang ramai.

Menurut Harian Metro, jurukimpal berusia 39 tahun, Zulkiflie Samsudin, kehilangan hampir separuh punca pendapatan bulanan sepanjang pandemik Covid-19 untuk menyara isteri, Nur Aqeela Atika Mohd Dali, 29 serta anak perempuannya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), Putri Nur Zahirah, 9 dan anak lelakinya, Muhammad Putra Riqzi Zilhelmi berusia setahun.

Menurutnya, dia bukan sahaja tidak mampu lagi membayar sewa rumah dan ansuran kereta, malah turut tidak mampu membeli susu dan lampin pakai buang anak lelakinya itu.

"Saya sedih kerana tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin kerana masalah kewangan dan keadaan saya bertambah buruk sejak awal tahun ini. Apatah lagi isteri sedang hamil enam bulan.

"Saya kibarkan bendera petang semalam selepas melihat ada kempen di media sosial dan Alhamdulillah bantuan diterima mencurah-curah hingga mampu menampung keperluan keluarga selama beberapa bulan.

"Malah ada juga warganet yang sanggup melangsaikan sewa rumah yang tertunggak selama sebulan berjumlah RM800 selain bayaran ansuran kereta selama tiga bulan bernilai keseluruhan RM1,200," katanya.

Zulkiflie berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya selepas memasang bendera putih di hadapan rumahnya.

"Buat masa ini barangan keperluan kami sudah mencukupi dan begitu juga dengan sumber kewangan.

"Saya amat bersyukur atas bantuan diterima dan hanya Allah mampu membalas jasa baik semua penderma," katanya kepada Harian Metro.

Pengguna media sosial melancarkan kempen "#BenderaPutih" semalam bagi meminta mereka yang menghadapi masalah kewangan menaikkan bendera putih di hadapan rumah sebagai tanda memerlukan bantuan.

Kempen itu menarik perhatian banyak pihak termasuk menteri dan ahli politik pembangkang.

Lihat Komen
ADS