Takaful Malaysia mohon maaf
Syarikat insurans Takaful Malaysia memohon maaf berhubung emel yang ditulis oleh Ketua Jabatan Syariahnya, Fauzi Mustafar yang dikatakan melarang kakitangan yang beragama Islam memberi ucap selamat kepada penganut agama Hindu sempena sambutan perayaan agama mereka.
Syarikat insurans Takaful Malaysia memohon maaf berhubung emel yang ditulis oleh Ketua Jabatan Syariahnya, Fauzi Mustafar yang dikatakan melarang kakitangan yang beragama Islam memberi ucap selamat kepada penganut agama Hindu sempena sambutan perayaan agama mereka.
Dalam satu kenyataan yang dimuatkan dalam lamanweb rasminya, syarikat insurans itu memohon maaf sekiranya emel tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan salahfaham.
Ia menjelaskan bahawa emel tersebut adalah tujuan edaran dalaman dan merupakan satu nasihat atau pandangan kepada kakitangannya sahaja.
Oleh itu, katanya, kandungan dan pandangan dalam emel tersebut bukan merupakan pendirian rasmi Takaful Malaysia dan bukan satu fatwa atau rujukan muktmad untuk kegunaan pihak-pihak yang tidak berkaitan.
Dalam hubungan itu, katanya, Takaful Malaysia meminta semua pihak yang telah menerima emel tersebut supaya jangan menghantarnya kepada pihak lain bagi mengelak berlakunya sebarang salahfaham dan salahtafsir mengenainya.
"Oleh itu, kami juga ingin memohon maaf kepada semua pihak sekiranya berlaku sebarang kekeliruan yang mungkin berlaku ekoran salahtafsiran emel tersebut," kata kenyataan itu.
Sementara itu, seorang jurucakap bahagian perhubungan awamnya berkata, syarikat insurans itu tidak akan menarik balik emel tulisan Fauzi itu hanya merupakan nasihat kepada kakitangannya yang beragama Islam.
Jurucakap bahagian Perhubungan Awam Takaful Malaysia berkata, emel tersebut bukan melarang kakitangan Islam menghadiri majlis Hari Deepavali bersama penganut beragama Hindu.
Satu peringatan
Sebaliknya, ia merupakan peringatan kepada kakitangan Islam supaya berhati-hati dengan ungkapan ucap selamat sempena perayaan tertentu yang di luar Islam.
"Ia bukan fatwa tetapi satu peringatan kepada kakitangan Takaful yang beragama Islam ketika beraya di rumah penganut Hindu sempena Deepavali pada 21 Oktober ini.
"Sebagai orang Islam, kita tidak mahu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariah pada hari Deepavali di rumah kawan-kawan," katanya ketika ditemui hari ini.
Jurucakap itu berkata, emel itu dihantar kepada lebih 2,000 pekerjanya di 123 cawangan Takaful di seluruh negara.
"Tidak ada sebarang kesalahan dari emel ini. Kami tidak melarang kakitangan berkunjung ke rumah penganut agama Hindu. Emel itu cuma mengingatkan mereka supaya lebih berhati-hati, terutama mengenai ucapan dan makan minum," katanya lagi.
Emel yang ditulis Fauzi itu, antara lain, meminta kakitangan Takaful Malaysia berhati-hati dengan ungkapan ucapan yang berkaitan kepercayaan agama atau tuhan agama berkenaan.
Menurut emel itu lagi, antara ucapan perayaan yang perlu dielakkan oleh kakitangan Islam Takaful ialah "Happy Deepavali, Happy Durga Pooja dan Happy Lakshmi Pooja" kerana ucap selamat itu membabitkan Tuhan mereka.
Beri penjelasan
"Kalau kita mengucapkannya, ia seolah-olah mengucap selamat buat tuhan Hindu yang bernama Durga, Lakhsmi dan Krishna. Ini jelas bertentangann dengan akidah Islam dan boleh menyebabkan berlakunya syirik."
Jurucakap itu berkata, sebagai sebuah syarikat perniagaan berteras Islam, semua kakitangannya diingatkan supaya menjaga disiplin dan nama baik syarikat.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang ingin tahu mengenai emel tersebut, termasuk dari pelanggan beragama Hindu.
Katanya, setelah diberi penjelasan mereka faham perkara sebenar bahawa emel tersebut hanya nasihat kepada kakitangan Takaful dan bukannya melarang mereka menghadiri perayaan Deepavali.
Sementara itu, Fauzi ketika dihubungi berkata, beliau tidak boleh memgulas lagi mengenai perkara itu kerana dilarang oleh majikannya.
Jurucakap Takaful itu juga mengesahkan pihaknya mengarahkan Fauzi mendiamkan diri bagi meredakan keadaan.
"Kami juga mengingatkan kakitangan supaya lebih berhati-hati menghantar emel supaya tidak menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat," katanya lagi.

