Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes tembak di Glenmarie 2010: Keluarga 3 remaja dapat ganti rugi RM1.5 juta

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memutuskan bayaran ganti rugi sebanyak RM1.5 juta kepada keluarga tiga remaja yang mati ditembak anggota polis hampir 11 tahun lalu.

Keputusan itu susulan saman yang difailkan keluarga tiga remaja tersebut terhadap kerajaan dan polis pada November 2013.

Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 22, dan Muhammad Hanafi Omar, 21, mati ditembak anggota polis di Glenmarie, Shah Alam pada 13 November 2010.

Dalam keputusan yang disampaikan secara dalam talian, hakim Khadijah Idris memutuskan ganti rugi berjumlah RM1,519,200 kepada keluarga ketiga-tiga mansa.

Pada 1 September 2016, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian ketiga-tiga remaja tersebut.

Perkara itu kemudian diserahkan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk penilaian ganti rugi.

Peguam tiga keluarga, Zaid Malek hari ini mengesahkan keputusan terhadap penilaian tersebut.

"Selepas hampir 11 tahun, keluarga mangsa tembakan Glenmarie akhirnya mendapat sedikit keadilan ke atas trauma dan kehilangan besar yang dihadapi mereka disebabkan tindakan polis.

"Kami berharap Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak merayu keputusan ini agar perkara ini dapat ditamatkan," katanya.

"Kami juga menggesa kerajaan dan polis untuk mengambil tindakan disiplin dan jenayah secara segera terhadap anggota polis yang terlibat.

"Ganti rugi RM1.5 juta akan dibahagikan antara tiga keluarga. Bakinya adalah ganti rugi untuk tuntutan kebergantungan (dependency claim) dan akan dibahagikan mengikut tuntutan masing-masing," katanya lagi.

Zaid berkata, jumlah RM1.5 juta itu untuk ganti rugi am, tuntutan estate, misfeasans (salah laku) awam, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, manakala RM19,200 untuk tuntutan kebergantungan.

Menerusi saman yang difailkan, keluarga secara bersama menuntut ganti rugi untuk kecuaian dan pelanggaran terhadap tugas statutori.

Shapiei Zainal Abidin dan Norhafizah Mat Razali memfailkan saman terhadap kematian anak mereka, Shamil, bersama-sama dengan Omar Abu Bakar dan Noriah Darus untuk kematian anak mereka, Hanafi.

Turut serta dalam saman itu adalah Hamidah Kadar dan Norhaliza Tuah, yang merupakan ibu dan kakak sulung kepada Hairul.

Mereka menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan, serta anggota polis yang terlibat dalam tembakan itu, yang tidak dikenal pasti.

Dalam saman tersebut, mereka mendakwa pada 13 November 2010, anak mereka iaitu Shamil, Hairul dan Hanafi mati akibat tembakan pada dada dan kepala mereka.

Selepas itu, beberapa laporan media memetik timbalan ketua polis Selangor ketika itu, A Thaivegan sebagai berkata, ketiga-tiga remaja tersebut bersenjatakan parang dan cuba menyerang polis selepas merompak beberapa stesen petrol di Monteres dan Monteres dan Bukit Subang.

Shamil yang ketika itu berusia 15 tahun mendapat tujuh luka termasuk tembakan di kepala, manakala Hairul (ketika itu 20 tahun) mendapat tiga luka termasuk di kepala, toraks dan perut. Hanafi pula dengan tujuh luka, termasuk di kepala dan dada.

Ia menurut laporan bedah siasat yang dibuat Hospital Klang. Peguam keluarga mendakwa mereka ditembak dari jarak dekat.

Keluarga mendakwa polis bersikap cuai dan bertindak terburu-buru dengan tidak mengikut prosedur sepatutnya ketika melakukan tembakan.

Mereka juga mendakwa pasukan polis gagal mengawal anggotanya dalam operasi tangkapan, dan mendakwa polis gagal mewujudkan sistem yang wajar berhubung penangkapan penjenayah dan pengendalian suspek yang ditangkap.

Selain itu, mereka mendakwa polis cuai dan tidak kompeten dalam mengiktiraf hak untuk hidup dan hak terhadap keselamatan dan kesihatan mangsa, dan polis menerusi tindakan mereka gagal mengiktiraf peruntukan undang-undang dan hak Perlembagaan suspek.

Pihak keluarga juga berkata, tindakan defendan menyebabkan mereka mengalami tekanan dan kejutan akibat kematian anak-anak mereka.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS