Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) sudah bersedia untuk meneruskan siasatan terhadap penggabungan kontroversi firma penasihat pelaburan, ECM Libra Bhd dengan syarikat perkhidmatan kewangan milik kerajaan, Avenue Capital Resources Bhd, walaupun berdepan dengan ancaman diambil tindakan undang-undang.

"Pandangan kita yang disokong oleh duluan di negara-negara Komanwel ialah apabila perkara itu dibincangkan secara tertutup seperti di PAC, maka tidak timbul soal ianya subjudis.

"Jadi, tiada sebabnya ia (PAC) boleh mempengaruhi keputusan mahkamah atau satu perbicaraan yang adil," kata Pengerusi PAC, Shahrir Samad kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat selama dua jam di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam mesyuaratnya yang dijadualkan November ini, PAC yang dipertanggungjawab memastikan wang kerajaan dibelanja secara bijaksana akan meneliti bagaimana kerajaan melaburkan dalam Avenue Capital sejak bertahun-tahun lalu.

Siasatan terperinci terhadap isu penggabungan ECM Libra-Avenue dijangka turut memberi kesannya terhadap pertelagahan berlanjutan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Alih perhatian

Para pemerhati yang mengikuti perkembangan kontroversi penggabungan tersebut, menjangka hasrat PAC untuk menyiasat latarbelakang Avenue Capital akan mengalih perhatian awam daripada menantu Abdullah Khairy Jamaluddin kepada anak Dr Mahathir, Mokhzani.

Ini kerana Mokhzani sebelum ini pernah menguasai Avenue Assets, yang kemudiannya ditukar nama kepada Avenue Capital pada 2003.

Bagaimanapun, penggabungan ECM Libra-Avenue menjadi tumpuan ramai kerana urusniaganya yang dianggap kontroversi itu diluluskan sejurus selepas Khairy membeli saham bernilai RM9.2 juta dalam ECM Libra.

Ini telah mengundangan kritikan hebat termasuk daripada Dr Mahathir yang berkata ianya tidak wajar kerana Abdullah juga, selaku Menteri Kewangan, tertanggungjawab terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Berikutan tekanan tersebut, Khairy terpaksa menjual sahamnya dalam ECM Libra itu Ogos lalu.

Bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir peguam Matthias Chang telah cuba menghalang siasatan tersebut dengan ancaman untuk mendakwa Shahrir menghina mahkamah kerana Chang mendakwa, siasatan PAC itu akan dianggap subjudis ekoran tindakan undang-undang yang sedang diambilnya.

Afidavit Chang, antara lain, menyentuh penggabungan ECM Libra-Avenue dan mempersoalkan bagaimana Khairy memperoheli RM9.2 juta untuk membeli tiga peratus saham ECM Libra.

Sementara itu, Shahrir berkata, beliau akan menulis kepada Abdullah untuk meminta menteri kewangan atau timbalannya hadir di mesyuarat akan datang untuk memberi keterangan kepada PAC mengenai pelaburan kerajaan dalam Avenue Capital.

Sementara itu, Pengerusi PAC itu juga berkata, perlindungan kekebalan akan diperluaskan meliputi saksi-saksi yang memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut seperti yang terkandung dalam Artikel 63 (2) Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu, mereka dilindungi daripada sebarang dakwaan menghina mahkamah.

Ditanya sekiranya Chang meneruskan ancamannya untuk mendakwa PAC menghina mahkamah, Shahrir berkata: "Jika kita hendak didakwa menghina mahkamah (walaupun ia dibincangkan secara tertutup), maka kita akan menemuinya di mahkamah."

Mesyuarat PAC yang dijadualkan pada 25 Ogos lalu telah ditangguhkan selepas Kementerian Kewangan yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut dan ancaman dakwaan menghina mahkamah oleh Chang menganggap siasatan itu sebagai subjudis.

Berikutan itu, PAC telah menubuhkan jawatankuasa perundangannya sendiri untuk mengkaji isu subjudis tersebut.

Sebelum ini, PAC mendapati penggabungan ECM Libra-Avenue dilakukan secara betul walaupun ia berkata akan meneliti sama ada wujud percanggahan kepentingan membabitkan Abdullah dan Khairy.

PAC juga memandangkan berat sama ada kerajaan akan hilang penguasaannya dalam Avenue Capital berikutan penggabungan tersebut yang menyebabkan sebuah GLC yang besar "ditelan' oleh sebuah firma swasta yang jauh lebih kecil daripadanya. Berita asal